Letupan gegar pangsapuri di Amsterdam, sekurang-kurangnya 7 cedera

Facebook
WhatsApp
PASUKAN perkhidmatan kecemasan menjalankan operasi di lokasi kejadian susulan satu letupan besar dan kebakaran di sebuah bangunan kediaman di Amsterdam. Foto AFP

THE HAGUE: Sekurang-kurangnya tujuh orang cedera pada awal pagi tadi selepas satu letupan mencetuskan kebakaran di sebuah bangunan di Amsterdam, ibu negara Belanda, lapor Agensi Berita Xinhua memetik media tempatan.

Menurut penyiar awam Belanda NOS, letupan itu berlaku pada kira-kira 00:15 waktu tempatan (2215 GMT pada Khamis) di sebuah bangunan luar dalam kompleks pangsapuri yang menempatkan sebuah gimnasium 24 jam. Kebakaran tercetus sejurus selepas letupan dan merebak ke bangunan pangsapuri berkenaan, menyebabkan kira-kira 400 penduduk berhampiran terpaksa dipindahkan.

Punca letupan masih belum diketahui, dan pihak berkuasa masih belum dapat memastikan jumlah sebenar mangsa yang berada di dalam bangunan itu ketika kejadian. Kebakaran berjaya dipadamkan beberapa jam kemudian, dan pasukan penyelamat sedang menjalankan operasi mencari kemungkinan mangsa tambahan. – Bernama