
KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun kerugian RM415,000 selepas menjadi mangsa penipuan bersemuka membabitkan tawaran permit haji dan perniagaan hotel di Makkah.
Ketua Polis Daerah Kuching, Alexson Naga Chabu, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima laporan berhubung kes itu.
Menurutnya, mangsa berkenalan dengan suspek, seorang lelaki tempatan, di sebuah restoran berhampiran Menara Jam di Makkah pada 30 Oktober 2024 sebelum ditawarkan bantuan mendapatkan permit haji serta peluang menyertai perniagaan hotel bagi penginapan jemaah ketika musim haji dan umrah.
“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa melakukan enam transaksi pembayaran secara dalam talian ke dua akaun bank berbeza. Bayaran pertama dibuat pada 10 November 2024 ketika berada di rumahnya di Kuching,” katanya.
Beliau berkata mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan atau permit seperti dijanjikan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran daripada individu tidak dikenali serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Oleh Connie Chieng