MIRI: Seorang lelaki ditemui maut selepas diserang buaya ketika memeriksa pukat yang dipasangnya di tebing sungai di Batu 4, Kuala Baram, di sini, petang semalam.
Mayat Minggu Ikum, 59, ditemukan pada sekitar jam 12.30 tengah hari tadi ketika masih berada di mulut buaya sebelum reptila itu melepaskannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah berkata, mayat mangsa yang dilepaskan itu, telah dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, Minggu dikatakan turun ke tebing sungai itu petang semalam, namun tidak kembali ke rumah sehingga jam 5 petang.
Henry berkata, menurut anak mangsa, mangsa dikatakan pergi memeriksa pukat yang dipasang di sungai.
“Setelah mendapati mangsa tidak mengangkat panggilan telefon, anak mangsa pergi ke tempat mangsa memeriksa pukat, namun tidak menemui mangsa kecuali menemui barang milik mangsa di tebing sungai.
“Anak mangsa turut mendapati pukat milik koyak dan kesan buaya ditemui di tebing sungai.
“Pencarian telah dijalankan oleh orang awam namum mangsa masih gagal ditemui sehingga laporan polis dibuat oleh anak mangsa,” katanya.