Sepanyol tewaskan Perancis, mara ke final Piala Dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PEMAIN tengah Sepanyol, Alex Baena (#15), bersama rakan sepasukannya meraikan kemenangan sejurus tamat perlawanan separuh akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Sepanyol di Stadium Dallas, Arlington pada 14 Julai 2026. Foto AFP

ARLINGTON, Amerika Syarikat: Sepanyol mengejutkan pilihan utama kejohanan, Perancis, dengan kemenangan 2-0 untuk mara ke final Piala Dunia sebentar tadi menerusi persembahan taktikal yang cemerlang, sekali gus memusnahkan impian Les Bleus menjulang gelaran dunia buat kali ketiga.

Sepakan penalti Mikel Oyarzabal pada babak pertama, disusuli jaringan Pedro Porro pada minit ke-58, memastikan kemenangan bergaya juara Eropah itu di Stadium AT&T, Arlington, Texas.

Juara Piala Dunia 2010 itu kini akan berdepan sama ada Argentina atau England pada aksi final di New Jersey, Ahad ini.

Perancis turun sebagai pilihan utama selepas mempamerkan aksi meyakinkan dengan ledakan gol sepanjang kempen hingga ke separuh akhir.

KETUA jurulatih Perancis, Didier Deschamps, menunjukkan reaksi kecewa di kawasan teknikal semasa perlawanan separuh akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Sepanyol di Stadium Dallas, Arlington pada 14 Julai 2026.Foto AFP

Namun, barisan serangan berbisa yang diterajui kapten Kylian Mbappe, pemenang Ballon d’Or Ousmane Dembele, Bradley Barcola dan Michael Olise berjaya dipatahkan oleh disiplin tinggi serta keampuhan permainan Sepanyol.

Sepanyol, yang menewaskan Perancis dalam dua pertemuan kompetitif sebelum ini, menunaikan janji untuk mengamalkan corak permainan menyerang sebaik wisel permulaan ditiup.

Persembahan mantap jentera tengah yang diketuai bintang Manchester City, Rodri, bersama Fabian Ruiz dan Dani Olmo memastikan Perancis gagal menguasai perlawanan.

Gandingan Rodri, Ruiz dan Olmo mengatasi pasangan tengah Perancis, Adrien Rabiot dan Aurelien Tchouameni, dengan mudah menerusi hantaran kemas yang membolehkan mereka mengawal rentak permainan.

BARISAN kejurulatihan dan pegawai teknikal Sepanyol meraikan kemenangan pasukan mereka sejurus tamat perlawanan separuh akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Sepanyol di Stadium Dallas, Arlington pada 14 Julai 2026. Foto AFP

Tanda-tanda awal kekecewaan Perancis muncul seawal minit kesembilan apabila Rabiot dilayangkan kad kuning selepas memijak kaki Olmo di luar kotak penalti.

Walaupun Sepanyol lebih banyak menguasai permainan, Perancis hampir membuka jaringan pada minit ke-16 apabila Mbappe berjaya melepasi kawalan pertahanan, namun percubaannya disekat pada saat akhir oleh Pau Cubarsi.

Dominasi awal Sepanyol

Penguasaan Sepanyol akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-20.

Hantaran lintang Marc Cucurella melintasi kotak penalti sebelum Lucas Digne gagal menanduk bola dengan kemas. Ketika cuba mengeluarkan bola menggunakan kaki, pemain Aston Villa itu tertendang Lamine Yamal sehingga pemain muda Barcelona itu terjatuh.

Pengadil dari El Salvador, Ivan Barton, tanpa ragu-ragu menghadiahkan sepakan penalti kepada Sepanyol.

PERTAHANAN Perancis, Jules Kounde (#5), dan pemain tengah Sepanyol, Alex Baena (#15), bersaing merebut bola semasa perlawanan separuh akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Sepanyol di Stadium Dallas, Arlington pada 14 Julai 2026. Foto AFP

Selepas sedikit kelewatan berikutan bantahan pemain Perancis, Oyarzabal tenang menyempurnakan sepakan penalti dengan menewaskan penjaga gol Perancis, Mike Maignan.

Nasib Perancis bertambah malang pada minit ke-31 apabila tonggak pertahanan, William Saliba, terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan sebelum digantikan oleh Maxence Lacroix.

Sepanyol hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-38 menerusi gerakan hantaran menarik di hadapan kotak penalti, namun percubaan Fabian Ruiz berjaya disekat Dayot Upamecano.

PENYERANG Sepanyol, Lamine Yamal (#19), mengasari penyerang Perancis, Kylian Mbappe (#10), semasa perlawanan separuh akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Sepanyol di Stadium Dallas, Arlington pada 14 Julai 2026. Foto AFP

Perancis mula bangkit pada penghujung babak pertama, namun tindakan pantas penjaga gol Sepanyol, Unai Simon, menggagalkan percubaan Mbappe hasil hantaran bijak Rabiot.

Sepanyol kembali menguasai permainan sebaik babak kedua bermula, manakala kegagalan Didier Deschamps mengubah corak permainan menyebabkan jentera tengah Perancis terus tenggelam.

Pada minit ke-58, Sepanyol memperoleh gol kedua menerusi gerakan satu-dua yang menarik antara Porro dan Olmo sebelum pertahanan Tottenham Hotspur itu tenang menyudahkan peluang dengan menewaskan Maignan.

Sepanyol hampir menambah jaringan ketiga tiga minit kemudian, namun gol Yamal dibatalkan selepas beliau didapati berada dalam kedudukan ofsaid yang amat tipis.

Deschamps melakukan beberapa pertukaran pemain bagi mengubah keadaan, namun Perancis tetap gagal menembusi benteng pertahanan kebal Sepanyol.

Peluang terbaik Perancis hadir apabila rembatan Mbappe berjaya ditepis Simon di tiang dekat.

Kekecewaan Perancis jelas terserlah pada penghujung perlawanan apabila Mbappe dilayangkan kad kuning selepas mengasari Simon ketika Sepanyol mengesahkan kemenangan sekali gus melangkah ke pentas final. – AFP