Lelaki maut tersepit dalam kemalangan dengan treler di Jalan Kuala Baram

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
 
TERSEPIT…Pasukan bomba menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA) untuk mengeluarkan seorang pemandu yang tersepit selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Jalan Kuala Baram, berhampiran Emart, Miri, awal pagi tadi. Foto JBPM

MIRI: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Jalan Kuala Baram, berhampiran Emart, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2.15 pagi itu, mangsa yang berumur 21 tahun didapati tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Pasukan tiba di lokasi pada 2.25 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan sebuah lori treler

“Terdapat seorang mangsa lelaki masih tersepit di tempat duduk pemandu. Anggota bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA) bagi mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada 4.00 pagi selepas kerja-kerja pembersihan lokasi selesai dijalankan.

Oleh Liong Chai Ling