Wanita maut dalam kebakaran kereta di Selangau

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PASUKAN BOMBA….Menjalankan kerja-kerja pemadaman kebakaran kereta di Jejambat Selangau, Jalan Sibu-Bintulu, malam ini.

SELANGAU: Seorang wanita maut selepas kereta sedan yang dipandunya terbakar dalam kejadian berlaku di Jejambat Selangau, Jalan Sibu-Bintulu, malam ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.22 malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau digerakkan lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati sebuah kereta sedan terbakar pada bahagian enjin dan hadapan kenderaan, manakala mangsa masih tersepit di tempat duduk pemandu.

“Anggota bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“PKO kemudian menggunakan peralatan khas Road Traffic Accident (RTA) bagi mengeluarkan mangsa yang masih tersepit di tempat duduk pemandu,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu, mangsa,49, berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.53 malam,” kata kenyataan itu.

Oleh Akun Giman