KUCHING: Seorang lelaki maut dalam satu insiden kebakaran kereta di Jalan Matang Batu Kawa awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 2:31 pagi, melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang terbakar sepenuhnya akibat kemalangan kendiri.
Katanya, pasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya menerima panggilan kecemasan dan tiba di lokasi pada jam 2:46 pagi.
“Mangsa, seorang lelaki, telah berjaya dikeluarkan dari kereta oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.
“Bagaimanapun, pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,”katanya.
Untuk makluman, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3:00 pagi, dan operasi tamat pada jam 3:20 pagi.
Gambar
HANCUR… Kereta jenis Proton Saga yang terbakar 100 peratus di lokasi kejadian.