KANOWIT: Lelaki yang dilaporkan hilang di Nanga Sengkabang Matau, Sungai Machan, ditemui terapung pada 9.45 pagi semalam, sekitar lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, Arrahman Chik berkata, mayat mangsa dibawa ke Rumah Maria Sebie Nyanai untuk pengecaman.
“Hasil pengecaman dibuat oleh waris mengesahkan ia adalah mayat Jonathan Madang,40, yang dilaporkan hilang pada Rabu lalu,” jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita semalam.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Dengan penemuan mayat ini, operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) ditamatkan pada 10.45 pagi tadi (semalam),” ujarnya.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang di Nanga Sengkabang Matau Sungai Machan pada Rabu lalu.
Pada petang yang sama, laporan turut dibuat di Balai Polis Kanowit untuk tindakan SAR.
Bertindak atas laporan, pasukan SAR disertai oleh pasukan Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk rumah panjang dilancarkan.
Operasi pencarian dibahagikan kepada dua sektor iaitu darat dan air.
Pencarian di air menggunakan kaedah surface searcing dan follow the stream dengan menggunakan bot penyelamat bomba dengan menyusuri Sungai Sengkabang ke hilir sungai dari lokasi lokasi kejadian dalam radius enam kilometer.
Pencarian di darat pula menggunakan kaedah base line method menyusuri tebing sungai radius dua kilometer dari lokasi dikenal pasti mangsa hilang.
Sekitar 6.20 petang Rabu, didapati perahu milik mangsa hanyut dan disedari oleh penduduk di kawasan tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa tiada di dalam perahu tersebut.
Usaha mengesan mangsa pada waktu itu dibuat oleh penduduk sekitar namun hanya menemui jejak dipercayai tapak kaki mangsa di sekitar tebingan sungai lokasi perahu mangsa ditambat.
Oleh Akun Giman