Kenyataan SPR mengenai kerusi Parlimen Sarawak tidak bercanggah – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong di Kompleks Sukan Betong, hari ini.-UKAS

BETONG: Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa tiada cadangan pertambahan bahagian pilihan raya Parlimen Sarawak buat masa ini tidak bercanggah dengan persetujuan prinsip Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu sememangnya belum memasuki proses rasmi SPR kerana sebarang penambahan kerusi perlu melalui beberapa peringkat termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan dan kelulusan Parlimen.

“Pengerusi SPR kata beliau belum menerima kerana memang belum ada, proses belum bermula.

“Apabila proses berjalan, barulah perkara itu dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong di Kompleks Sukan Betong, hari ini.

Menurutnya, jumlah kerusi yang bakal ditambah juga masih bergantung kepada keputusan Kerajaan Persekutuan sebelum perkara itu dibawa ke Parlimen untuk kelulusan.

“Kalau hendak tambah, berapa hendak ditambah itu terpulang kepada kerajaan kerana ia melibatkan Parlimen.

“Selepas itu, ia mesti dibawa ke Parlimen dahulu sebelum proses seterusnya seperti pewartaan dan penyusunan semula sempadan kawasan dilaksanakan,” katanya.

Abang Johari berkata, proses persempadanan semula kemudiannya akan melibatkan pameran cadangan sempadan bagi membolehkan pihak berkepentingan mengemukakan bantahan sebelum proses itu diteruskan.

Kenyataan SPR sebelum ini menjelaskan bahawa pihaknya belum menerima cadangan pertambahan kerusi adalah selaras dengan kedudukan semasa kerana proses rasmi berhubung perkara berkenaan masih belum dimulakan. 

Pada 25 September, SPR menegaskan tiada cadangan pertambahan bahagian pilihan raya Parlimen Sarawak buat masa ini, termasuk mana-mana bahagian yang dikaitkan dengan perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

SPR turut menjelaskan hanya Syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Negeri Sarawak Ke-7 sedang dipamerkan kepada orang ramai bagi tempoh 1 hingga 30 September 2026. 

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 September lalu memaklumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen, termasuk melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan. 

SPR sebelum ini turut menjelaskan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya berkaitan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak hanya akan dilaksanakan tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan. 

Peletakan jawatan Loke, PM tunggu surat

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum menerima surat peletakan jawatan Menteri Pengangkutan Anthony Loke. “Tunggu surat