SIBU: Usaha menjaga kebersihan tidak seharusnya berakhir selepas sesuatu program gotong-royong selesai, sebaliknya perlu diteruskan sebagai amalan harian masyarakat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, berkata kebersihan bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT), sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak.
Katanya, Program Hari Cuci Malaysia 2026 perlu dilihat sebagai usaha untuk membina kesedaran dan memupuk rasa tanggungjawab masyarakat terhadap persekitaran masing-masing.
“Saya berharap program murni seperti ini tidak berakhir selepas aktiviti hari ini selesai. Sebaliknya, biarlah ia menjadi titik permulaan kepada perubahan yang berterusan.
“Kerajaan, PBT, sektor swasta, NGO, sekolah, komuniti dan setiap individu mempunyai peranan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Kaunselor Paul Teo pada Program Hari Cuci Malaysia 2026 di Taman Hui Ning, Lorong Upper Lanang 29, di sini, hari ini.
Tiong berkata, tahap kebersihan turut menjadi antara perkara yang diperhatikan pelancong ketika mengunjungi sesebuah destinasi, selain tarikan pelancongan, hotel dan pusat beli-belah.
Menurutnya, keadaan jalan raya, pasar, tandas awam, taman, kawasan rekreasi serta persekitaran bandar dan kampung turut mencerminkan imej sesebuah destinasi.
“Jika persekitaran kita bersih dan terurus, ia akan memberikan pengalaman positif kepada pelancong serta mengukuhkan imej Malaysia.
“Sebab itu, kebersihan bukan perkara kecil. Kebersihan adalah wajah kita dan imej negara,” katanya.
Beliau berkata, persekitaran pelancongan yang bersih dan menarik turut berpotensi memberi kesan positif kepada ekonomi setempat menerusi limpahan manfaat kepada peniaga, pengusaha hotel dan restoran, pengusaha produk tempatan, pemandu pelancong serta sektor pengangkutan.
Oleh Tarani Lanting





