MIRI : Cubaan seorang lelaki untuk menyogok anggota Batalion (BN) 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) sebanyak RM20,000 gagal selepas dia ditahan dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Maigold, Golden Royal Villa, Senadin di sini, semalam.
Pegawai Pemerintah BN 12 PGA, Superintendan Tan Hiap Seng berkata lelaki tersebut bertindak sedemikian supaya anggota terbabit tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana menyimpan minuman keras dan rokok seludup.
Beliau berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai penjaga stor ditahan menerusi Ops Libas yang dilakukan oleh Cawangan Risik BN 12 PGA yang turut disertai empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 1 petang.
“Ketika pasukan serbuan membuat pemeriksaan, penjaga stor tersebut telah memberikan wang sogokan berjumlah RM 20,000 kepada pasukan serbuan untuk tidak dikenakan tindakan undang-undang.
“Walaupun diberikan amaran berulang kali tetapi lelaki tersebut tetap berdegil menawarkan wang sogokan tersebut menyebabkan dia ditahan oleh angota SPRM yang tuirut serta dalam operasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Tan, sejumlah 3,184 kotak minuman keras pelbagai jenis dan jenama dianggarkan benilai RM172,710 termasuk cukai tang disimpan dalam stor rumah tersebut dirampas.
“selaian Minuman keras pelbagai jenis dan jenama, kita turut merampas 750 karton rokok putih, 2,070 karton rokok kretek bernilai RM380,804 termasuk cukai yang turut disimpan dalam stor dan kenderaan jenis van di kawasan rumah terbabit.
“Pasukan serbuan juga merampas sebuah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM30,000, menjadikan nilai anggaran keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM603,514,” katanya.
Katanya, barang rampasan tersebut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Miri untuk tindakan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling