MUKAH: Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta memiliki senjata api dan senjata berbahaya dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Mukah-Selangau, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan sekitar 8.00 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah hasil maklumat serta risikan.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu di dalam kotak rokok jenama Era yang disimpan dalam beg silang milik suspek.
“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas 0.46 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di bilik suspek turut menemukan selaras senjata api yang dipercayai jenis senapang angin, sebilah pedang samurai sepanjang 79 sentimeter, 80 biji guli dipercayai digunakan sebagai peluru serta sebotol bekas semburan plastik lutsinar.

Katanya, kesemua barang rampasan bersama suspek dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Muhamad Rizal berkata, suspek berusia 36 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit itu direman selama tiga hari sehingga 9 Ogos ini bagi membantu siasatan.
Beliau menegaskan, IPD Mukah akan terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dadah serta pemilikan senjata api dan senjata berbahaya bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau penyalahgunaan dadah diminta menghubungi Hotline IPD Mukah di talian 084-871222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Akun Giman





