Keputusan GPS berhubung calon langsung diketahui esok – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan dan Pameran Penilaian Impak Sosial dalam Ekonomi Pesat Membangun 2026 (SIAC2026) di sini, hari ini.

KUCHING, 24 November: Persoalan sama ada Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menggunakan semula formula calon langsung (direct candidate) bagi menyelesaikan pertindihan tuntutan kerusi antara parti komponennya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan terjawab esok.

Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, semua persoalan berkaitan perkara itu akan terjawab menerusi pengumuman yang dijadualkan esok.

“Tunggu besok hari. Semua akan terjawab besok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan dan Pameran Penilaian Impak Sosial dalam Ekonomi Pesat Membangun 2026 (SIAC2026) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada GPS akan mempertimbangkan semula penggunaan calon langsung seperti yang pernah dilaksanakan ketika era Barisan Nasional (BN), susulan perkembangan semasa dalam Parti Demokratik Progresif (PDP).

Isu berkenaan kembali menjadi perhatian susulan pertindihan tuntutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan dan Engkilili antara PDP dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang sebelum ini dikaitkan sebagai kerusi tradisi SUPP.

Presiden PDP, Dato Sri Tiong King Sing sebelum ini menegaskan hasrat partinya untuk mempertahankan kesemua lapan kerusi yang dimiliki ketika ini, termasuk Bawang Assan dan Engkilili, sambil meminta Abang Johari membantu menyelesaikan perkara berkenaan demi mengekalkan keharmonian GPS.

Kedua-dua kerusi itu kini disandang Dato Sri Wong Soon Koh (Bawang Assan) dan Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili), yang sebelum ini memenanginya atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada PRN 2021 sebelum menyertai PDP pada 2024 susulan pembubaran PSB.

Bagaimanapun, kedua-duanya mengumumkan peletakan jawatan daripada PDP berkuat kuasa 22 November lalu, namun menegaskan sokongan berterusan kepada GPS dan kepimpinan Abang Johari.

Untuk rekod, formula calon langsung pernah diperkenalkan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem pada PRN Sarawak ke-11 pada 2016 bagi menyelesaikan kebuntuan pembahagian kerusi antara parti komponen BN dengan parti serpihan yang mesra BN ketika itu.

Menerusi pendekatan tersebut, calon yang bertanding tidak menggunakan tiket parti masing-masing, sebaliknya diberikan laluan bertanding secara langsung di bawah tiket BN.

Antara 13 calon langsung yang diketengahkan ketika itu ialah Wong Soon Koh di Bawang Assan dan Johnical Rayong di Engkilili, selain Tiong Thai King di Dudong serta Ranum Mina di Opar.

Sebanyak 11 daripada 13 calon langsung berkenaan berjaya memenangi kerusi masing-masing pada PRN 2016, termasuk Wong dan Johnical.

Formula itu diperkenalkan ketika berlaku pertindihan tuntutan kerusi antara SUPP dengan Parti Rakyat Bersatu (UPP), selain Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dengan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).

Pada PRN kali ini, keputusan GPS berhubung pembahagian kerusi Bawang Assan dan Engkilili serta kemungkinan penggunaan semula formula calon langsung menjadi antara perkara yang dinantikan menjelang pengumuman senarai calon gabungan itu esok.

Oleh Shahrul Qaizat