SIBU: Seorang lelaki tempatan ditahan bersama sejumlah dadah dengan berat kasar keseluruhan rampasan 237.64 gram, bernilai kira-kira RM20,269.80.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sibu di sebuah pusat hiburan di Lorong Langsat Sibu sekitar 5.00 petang, kelmarin.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai lima paket plastik bertulis “BAILEHUI” mengandungi serbuk campuran jus Ecstacy anggaran berat kasar 109.35 gram, 10 biji pil disyaki Erimin 5 anggaran berat kasar 17.05 gram dan 38 paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Ketamin anggaran berat kasar 31.55 gram.
“Turut dijumpai 215 biji pil pelbagai warna disyaki dadah jenis Ecstacy anggaran berat kasar 66.26 gram dan 13 batang rokok disyaki mengandungi dadah jenis Mushroom anggaran berat kasar 13.43 gram.
“Anggaran kasar keseluruhan rampasan berjumlah 237.64 gram dengan nilai rampasan berjumlah RM20,269.80,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Zulkipli berkata, saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Meth/Amp/Ket/Benzo.
Menurutnya lagi, semakan kes lampau juga mendapati suspek mempunyai dua kes lampau berkaitan dadah.
“Suspek seterusnya ditangkap dibawah Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan telah ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
Hukuman bagi kesalahan dibawah seksyen 39B ADB 1952 jika disabitkan kesalahan mandatori gantung sampai mati,” katanya.
Oleh Tarani Lanting