
MIRI: Tindakan pantas anggota bomba dan orang awam berjaya menghalang seorang lelaki yang dipercayai cuba terjun dari jejambat di Jalan Miri-Pujut, di sini, malam tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.39 malam tentang kejadian itu.

Katanya, pasukan bomba dikerah dengan segera ke lokasi untuk cuba memujuk mangsa agar tidak bertindak di luar kawalan.
“Dalam cuba memujuk, mangsa bertindak melarikan diri ke jalan utama.
“Dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi, lelaki tersebut berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Motif kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Pihak bomba turut menasihatkan orang ramai yang mengalami tekanan atau menghadapi masalah supaya mendapatkan bantuan daripada pihak berwajib atau menghubungi talian sokongan psikososial bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Oleh Adum Liu