Tiga pekerja binaan ditahan, curi peralatan projek perumahan di Kabong

Facebook
WhatsApp
TIGA lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri peralatan pembinaan rumah di kawasan Lot Baru Perumahan Kabong, dengan anggaran kerugian kira-kira RM1,080. Foto IPD Saratok

KABONG, 17 November: Tiga lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri peralatan pembinaan rumah di kawasan Lot Baru Perumahan Kabong, dengan anggaran kerugian kira-kira RM1,080.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 26 hingga 29 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok dalam satu operasi semalam.

Menurutnya, tangkapan dilakukan kira-kira 7.15 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Hulu, Kabong, hasil maklumat dan siasatan yang dijalankan pihak polis.

“Kes ini dilaporkan berlaku pada 13 November lalu kira-kira 6.00 pagi apabila pengadu mendapati tingkap stor penyimpanan peralatan pembinaan milik sebuah syarikat berada dalam keadaan longgar dan tidak berkunci.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa peralatan pembinaan hilang, termasuk empat tong cat berkapasiti 18 liter, sebuah set mangkuk tandas dan 10 kotak jubin bersaiz 1×2 kaki, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM1,080,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati ketiga-tiga suspek mengaku memasuki stor berkenaan melalui tingkap yang telah dilonggarkan sebelum mengambil peralatan terbabit.

Katanya, empat tong cat berkenaan dipercayai telah dijual kepada seorang lelaki di Kampung Hilir, Kabong dengan harga RM50 setiap satu, manakala peralatan lain disimpan di rumah dua daripada suspek untuk dijual kepada pembeli.

“Siasatan turut mendapati ketiga-tiga suspek mengaku telah beberapa kali melakukan kegiatan pecah masuk ke stor berkenaan, khususnya ketika penjaga stor tiada di lokasi.

“Mereka juga mendakwa wang hasil jualan barangan curi dibahagikan sama rata dan digunakan untuk membeli bekalan dadah,” katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek merupakan pekerja buruh binaan di syarikat berkenaan yang menjalankan projek pembinaan perumahan di Lot Baru Kabong sejak Jun tahun ini.

Suspek turut mendakwa perbuatan itu dilakukan kerana tidak berpuas hati apabila mendakwa gaji mereka tidak dibayar oleh majikan selama tiga bulan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan pihak polis memaklumkan siasatan bagi kes berkenaan telah selesai.

Oleh Adi Safarman