MIRI, 18 November: Polis menahan empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 23 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan di kawasan Taman Jelita, Miri yang tular menerusi rakaman video berdurasi kira-kira 57 saat.
Keempat-empat suspek ditahan di sekitar bandar raya Miri pada 16 November lalu, kira-kira 6.30 petang, susulan siasatan yang dijalankan selepas polis menerima rakaman video berkenaan daripada orang awam pada hari sama.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohamad Farhan Lee Abdullah dalam kenyataan media berkata, satu laporan polis berhubung kejadian itu dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada 6.38 petang bagi membolehkan siasatan lanjut dan tindakan mengesan individu terbabit dijalankan.
Siasatan awal mendapati pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua suspek ketika mereka sedang minum minuman keras bersama rakan-rakan di kawasan Taman Tunku, Miri.
Susulan pertengkaran itu, kedua-dua lelaki berkenaan kemudian pergi ke Taman Jelita sebelum terlibat dalam pergaduhan fizikal.
Dua lagi suspek turut berada di lokasi kejadian. Seorang daripada mereka dipercayai bertindak sebagai pengadil, manakala seorang lagi hanya memerhatikan pergaduhan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Miri mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kepada pegawai penyiasat, Sarjan Jugol Berindan, menerusi talian 011-10528708.
Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat dengan mengunjungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Miri menerusi talian 085-432533.
Oleh Adum Liu





