LAWAS: Kekosongan jawatan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Lawas perlu diisi segera bagi memudahkan operasi PPD Lawas.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong (gambar) melahirkan kebimbangan terhadap kekosongan jawatan PPD Lawas yang telah lama kosong termasuk dua sekolah menengah yang juga tidak mempunyai pengetua.
“Kita minta pihak Kementerian Pendidikan di peringkat negeri dan persekutuan dapat memberi perhatian serius terhadap perkara ini.
“Dua sekolah menengah tidak ada pengetua iaitu SMK Trusan dan SMK Sundar. Jadi kita mohon dipercepatkan urusan inilah,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri perasmian Pejabat Pendidikan Daerah Lawas yang baru di Banting baru-baru ini.
Henry Sum meluahkan kebimbangan ini kerana isu pendidikan adalah perkara penting dan asas dalam melahirkan modal insan untuk wilayah Sarawak dan negara amnnya.
“Soal pendidikan adalah penting untuk melahirkan modal insan yang berjaya. Kita bimbang sebab dua sekolah menengah yang ada di Lawas ini tidak ada nakhoda dan jika dilihat kesannya ialah ke atas anak-anak sekolah,” tambahnya.
Berdasarkan perkembangan berkenaan, beliau akan terus melakukan susulan untuk mendapat jawapan daripada Menteri Pendidikan agar isu pendidikan di luar bandar seperti Lawas dapat diberi perhatian setara dengan kawasan lain di negara ini.
Beliau menegaskan bahawa perkara ini bukan sesuatu yang dipandang remeh sebaliknya pihak yang berkenaan lebih peka dan tidak perlu menunggu reaksi daripada ibubapa dan rakyat di kawasan yang berkenaan.
Oleh ADENG EDRUS