PETRA JAYA, 8 Oktober: Latihan rembatan dari luar kawasan penalti yang sering dilakukan Gabriel Peres akhirnya membuahkan hasil apabila percubaannya membantu Kuching City bangkit untuk mengikat Tampines Rovers 2-2 dalam aksi pembukaan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup 2026/27, malam tadi.
Peres yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan melepaskan rembatan dari luar kawasan penalti pada minit ke-86 untuk menghasilkan gol penyamaan Kuching City, sebelum menanduk masuk gol kedua peribadinya pada masa tambahan bagi memastikan tuan rumah mengelak kekalahan di Stadium Taha Ariffin.
Menurut Peres, rembatan jarak jauh itu merupakan antara perkara yang sering diasahnya ketika sesi latihan kerana dia sememangnya gemar mengambil peluang untuk melepaskan percubaan dari luar kawasan penalti.
“Saya cuba melakukan rembatan dalam setiap sesi latihan kerana saya memang sukakannya.
“Dalam banyak situasi apabila kami tidak dapat bermain di bahagian tengah, kami cuba melakukan hantaran lintang, tetapi saya nampak semua pemain Tampines berada di belakang dan saya nampak ruang.
“Dalam fikiran saya, saya mahu mencuba rembatan dan saya lakukannya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Percubaan Peres kemudian terkena pemain Tampines sebelum bola mengubah arah dan menerjah gawang, sekali gus menghidupkan kembali peluang Kuching City yang ketika itu ketinggalan 1-2.
Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak turut memuji kualiti rembatan pemain berkenaan dan menyifatkan keberaniannya mengambil peluang sebagai satu kelebihan yang mampu memberikan lebih banyak manfaat kepada pasukan.
“Dia sangat bagus. Sebab itu anda dapat lihat dia mempunyai kekuatan dan kualiti. Bagus apabila dia mengambil peluang yang diberikan dan kami pasti boleh menjangkakan lebih banyak daripadanya selepas perlawanan ini,” katanya.
Peres kemudiannya melengkapkan kebangkitan Kuching City pada minit ke-90+3 apabila menanduk masuk hantaran lintang Joao Pedro untuk memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Peres turut menyifatkan penampilan pertamanya di Stadium Taha Ariffin sebagai sesuatu yang menggembirakan, namun menegaskan dia mahu meneruskan prestasi itu bagi membantu Kuching City memburu kemenangan dalam aksi seterusnya.
“Saya berasa gembira dalam perlawanan pertama saya di Kuching di stadium ini. Saya cuba memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.
“Sudah tentu saya mahu memenangi setiap perlawanan, tetapi inilah bola sepak. Saya mahu meneruskan prestasi ini untuk membantu pasukan,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat



