Last Minute: Disatukan oleh muzik dan persahabatan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KOTA SAMARAHAN: Setiap pemuzik mempunyai kisah tersendiri. Ada yang dibentuk menerusi pentas Battle of the Band (BOTB), ada yang menimba pengalaman dalam arena muzik bawah tanah, ada yang mempelajari muzik daripada insan tersayang, malah ada yang baru memulakan langkah tetapi berani mengejar impian.

Semua perjalanan itu akhirnya menemukan mereka pada satu titik yang sama, iaitu Last Minute.

Ditubuhkan pada tahun ini, Last Minute bukan sekadar sebuah kumpulan muzik, sebaliknya lahir daripada impian enam anak muda yang percaya bahawa muzik bukan sekadar bunyi, tetapi bahasa yang menyatukan jiwa, pengalaman dan persahabatan.

Di sebalik alunan gitar bes yang menggegarkan pentas, Billter membawa pengalaman yang dibina sejak menyertai BOTB di Bintulu dari 2022 hingga 2024 sebelum mengembangkan bakat bersama beberapa kumpulan muzik bawah tanah di Kuching sebagai pemain gitar bes dan session bassist.

LAST MINUTE… Kumpulan Last Minute menghimpunkan enam anak muda daripada latar belakang muzik yang berbeza, namun disatukan oleh minat, pengalaman dan impian untuk mencipta nama dalam arena muzik komersial.

Setiap pentas yang dijejakinya menjadi medan pembelajaran yang membentuk identiti permainannya hari ini.

Bagi Ezekeal pula, muzik bukan sekadar hobi, sebaliknya satu perjalanan yang merentasi pelbagai genre. Beliau pernah membuat persembahan bersama Soul Syndicate dalam BOTB di Amphitheatre Park, Kuching pada 2024, selain menggerakkan kumpulan TOA yang mengetengahkan aliran Metalcore/Modern Metal serta SINUS TACHYCARDIA yang memperjuangkan muzik Christian Metal berbahasa Iban.

Persembahannya telah menjangkau Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, malah beliau dijadualkan membuat persembahan di Johor pada November ini.

Kini, beliau memilih cabaran baharu bersama Last Minute untuk meneroka dunia muzik komersial sebagai pemain gitar kedua dan pemain papan kekunci.

MENGASAH KESERASIAN… Anggota Last Minute memanfaatkan setiap sesi latihan untuk memperhalusi susunan muzik serta memperkukuh persefahaman sebagai persediaan menghasilkan persembahan terbaik.

Berbeza pula kisah Felix.

Walaupun belum pernah membuat persembahan di pentas besar, impiannya untuk bergelar penyanyi tidak pernah luntur. Baginya, Last Minute menjadi medan pertama untuk membuktikan bahawa keberanian sering bermula dengan sebuah peluang.

Rinoz pula mula mengenali dunia persembahan sejak zaman persekolahan menerusi BOTB bersama Regalia. Perjalanannya diteruskan bersama MAYA BAND pada 2025 yang membolehkannya menghiburkan pelbagai majlis termasuk perkahwinan, sambutan Gawai, Krismas serta acara komuniti.

Rakannya, Simon, turut melalui pengalaman yang hampir sama apabila pernah menyertai BOTB sebelum memperluaskan pengalaman sebagai cakera padat digital (DJ) di beberapa bistro tempatan, sekali gus menjadikan muzik sebagai sebahagian daripada kehidupannya.

Sementara itu, Dwayne mewarisi minat terhadap muzik yang telah lama berakar dalam keluarganya. Pengalamannya menggantikan mendiang Ahmad Zaki sebagai pemain dram utama MAYA BAND serta membuat persembahan di Gawai Bazaar MJC pada 2025 mengajarnya tentang erti tanggungjawab dan dedikasi di pentas persembahan.

Di sebalik setiap persembahan, setiap anggota Last Minute mempunyai insan yang menjadi sumber inspirasi sepanjang perjalanan mereka.

SESI LATIHAN… Anggota Last Minute menjalani latihan bagi memperkemaskan persembahan serta meningkatkan keserasian menjelang kemunculan mereka dalam arena muzik komersial.

Ezekeal membesar dengan mengagumi Synyster Gates dan mendiang The Rev daripada Avenged Sevenfold, selain menjadikan Jacob Collier sebagai contoh kehebatan seorang pemuzik serba boleh.

Felix pula menjadikan Martin Garrix sebagai sumber inspirasi kerana percaya bahawa muzik mampu menyentuh emosi serta menyatukan manusia tanpa mengira bahasa.

Bagi Dwayne, insan yang paling banyak mempengaruhi perjalanan seninya ialah bapanya sendiri, Johnson Maya, yang menjadi guru pertama memperkenalkan dunia muzik sejak beliau masih kecil. Selain itu, beliau turut mengagumi tokoh seperti mendiang The Rev, Greyson Nekrutman, Mike Portnoy dan Mike Mangini.

Rinoz pula tidak pernah mencari idola jauh. Baginya, bapanya, David Friday yang juga pemain gitar kedua MAYA BAND, merupakan sumber inspirasi yang membentuk dirinya sehingga hari ini.

Simon turut mempunyai kisah yang menyentuh hati apabila mendiang datuknya, Janggui Bujang, menjadi insan yang menyemai kecintaan terhadap muzik dalam kalangan ahli keluarga melalui aktiviti belia gereja.

Bagi Billter pula, Johnson Oh bukan sekadar mentor, malah individu yang membuka ruang kepadanya untuk memahami pelbagai genre muzik serta mengasah kemahiran bermain gitar bes.

Selain aktif bersama Last Minute, beliau turut terus berkhidmat dalam pelayanan muzik di gereja sebagai tanda kesyukuran atas bakat yang dikurniakan.

Bagi Last Minute, muzik bukan sekadar hiburan. Muzik ialah kisah tentang jatuh bangun kehidupan, keluarga yang menjadi sumber kekuatan, sahabat yang saling melengkapi, serta impian yang tidak pernah berhenti dikejar.

Mereka percaya setiap lagu yang dipersembahkan bukan sekadar didengari, sebaliknya mampu meninggalkan kesan dan cerita dalam hati setiap pendengar.

Oleh Norman B