
KUCHING: Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) bakal mencipta sejarah menerusi kerjasama pertama mereka dalam penganjuran Larian Media, yang akan berlangsung pada 20 Julai depan di sini.
Larian Media ini melambangkan permulaan era baharu kerjasama dan inovasi dalam kalangan komuniti kewartawanan, sambil memupuk semangat kesihatan, kesejahteraan dan perpaduan dalam kalangan pengamal media tempatan.
Perkongsian julung kali antara CJA dan KDJA ini bertujuan memperkukuh jaringan persahabatan dalam industri, selain menyerlahkan pentingnya kolaborasi dan sokongan berterusan antara profesional media.
“Kami amat teruja dengan kerjasama ini.
“Ia bukan sahaja memberi peluang untuk mencipta kenangan bermakna, tetapi juga membuka ruang kepada projek-projek masa depan yang mendorong keterangkuman dan pertumbuhan profesional dalam bidang kewartawanan,” kata Presiden CJA, Alice Wee.
“Perkongsian ini menandakan satu pencapaian penting untuk CJA dan KDJA.
“Menghimpunkan profesional media dalam acara berunsur rekreasi dan kesihatan bukan sahaja mengeratkan hubungan industri, tetapi turut menekankan peri pentingnya keseimbangan antara kerjaya dan kesejahteraan diri,” tambahnya.
Presiden KDJA, Ronnie Teo pula, berkata kewartawanan merupakan profesion yang penuh cabaran dan pantas.
“Tidak mustahil aspek kesihatan mudah terabai.
“Justeru, inisiatif ini mengingatkan kita bahawa gaya hidup sihat dapat meningkatkan tumpuan dan kesejahteraan secara keseluruhan, sekali gus membantu para wartawan kekal cergas dalam melaksanakan tanggungjawab penting mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut mendedahkan beberapa tarikan khas untuk acara kali ini termasuk rekaan baju-T edisi khas bertemakan kewartawanan serta pingat unik berinspirasikan kamera.
Maskot rasmi larian ini pula ialah wartawan orang utan, katanya, melambangkan kreativiti dan identiti tempatan.
“Kami berharap elemen-elemen ini dapat menambahkan keseronokan kepada Larian Media, menjadikannya bukan sahaja acara kesihatan tetapi juga pengalaman bermakna yang akan dikenang oleh peserta, sama ada dalam kalangan profesional media mahupun orang awam,” ujarnya.
Pendaftaran untuk Larian Media kini dibuka kepada semua di laman sesawang www.malaysianrunners.com.
Secara alternatif, borang pendaftaran manual juga boleh diperoleh di kedai RevRun di Green Heights Mall, Kuching.
Kategori larian yang ditawarkan termasuk 3km dan 5km (fun run) serta 10km (competitive run).