KUCHING: Laporan Tahunan Amanah Saham Sarawak (ASSAR) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 telah dimuat naik ke laman sesawang dan boleh diakses secara dalam talian.
Ketua Pegawai Eksekutif Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSB), Norlia Madon berkata laporan itu boleh diakses secara atas talian menerusi www.assar.com.my.
Katanya, bagi mereka yang memilih salinan bercetak, permintaan boleh dibuat di pejabat ASSB di Kuching atau melalui e-mel.
“Kami menggalakkan semua pemegang unit untuk meluangkan masa menyemak laporan tahunan ini, yang memberikan pandangan menyeluruh mengenai prestasi kewangan Tabung ASSAR dan prospek masa depan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, ASSB turut memaklumkan penyempurnaan proses pembayaran dividen akhir bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 tabung ASSAR.
”Dividen sebanyak 3.5 sen seunit, yang keseluruhannya berjumlah RM16.4 juta, telah diagihkan kepada semua pemegang unit berdaftar berdasarkan baki pegangan mereka pada 30 Jun 2024.
”Dengan pembayaran dividen ini, jumlah agihan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 kini berjumlah 6 sen seunit,” ujarnya.
Pada Januari 2024, ASSAR telah mengisytiharkan dan mengagihkan dividen interim sebanyak 2.5 sen seunit, berjumlah RM11.7 juta.
Menurut Norlia, secara keseluruhan, pemegang unit telah menerima jumlah dividen sebanyak RM28.1 juta untuk tahun kewangan tersebut, mencerminkan komitmen berterusan pihaknya untuk memberikan pulangan yang konsisten kepada pemegang unit ASSAR.
Selaras dengan dasar pengagihan ASSAR, dividen yang kurang daripada RM500 telah dilaburkan semula secara automatik pada harga semasa, manakala dividen yang melebihi jumlah RM500 telah dibayar melalui cek.
Sehubungan itu juga, penyata pengagihan dividen beserta baucer cukai dividen telah dihantar kepada semua pelabur melalui pos ke alamat berdaftar mereka.
Selain itu, beliau juga mengingatkan semua pelabur untuk mengemaskini maklumat peribadi mereka, termasuk alamat, nombor telefon dan alamat e-mel.
”Kemaskini maklumat peribadi adalah penting bagi memastikan komunikasi yang lancar dan pematuhan kepada keperluan peraturan pihak berkaitan,” tambahnya.
Pelabur boleh mengemaskini maklumat mereka di kaunter perkhidmatan ASSAR, dengan menghubungi 082-231433 atau 019-3461433, atau melalui e-mel di assar@assar.com.my.