NURZILLA MOHAMAD
SIBU: Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee menafikan sekeras-kerasnya laporan portal Sarawak Report yang melaporkan peruntukan bantuan makanan Covid-19 dari Kerajaan Sarawak untuk lima kawasan DUN di Sibu diletakkan di bawahnya.
Tegasnya, laporan portal Sarawak Report itu adalah salah dan fitnah semata-mata.
“Sarawak Report melaporkan perkara yang tidak benar. Saya tidak tahu dari mana mereka mendapat maklumat sedemikian.
“Tolonglah bertaubat, jangan lagi mengeluarkan kenyataan yang tidak benar. Rakyat sedang lapar, jangan berpolitik pada masa ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Residen Bahagian Sibu, semalam.
Sehubungan itu, beliau berkata semua peruntukan disalurkan terus kepada Pejabat Residen Bahagian Sibu yang mengendalikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JBBS) dan dipengerusikan oleh Residen Bahagian Sibu, Charles Siaw.
Katanya, JBBS akan mengendalikan semua urusan pembelian bekalan makanan, termasuk mengurus semua dokumen.
“Apa sahaja berkaitan dokumen, pembelian bekalan dan semuanya adalah dilakukan oleh jawatankuasa, saya hanya memantau bagi memastikan semua bantuan ini sampai kepada penerima.
“Oleh itu, apa yang ditulis oleh Sarawak Report ini adalah fitnah semata-mata,” katanya lagi.
Dr Annuar memberitahu lagi, bantuan telah mula disalurkan kepada penerima bermula Isnin lalu, tanpa mengira kawasan pembangkang ataupun tidak.
“Dudong adalah kawasan pembangkang, di sini 100 lebih pemohon telah menerima bantuan mereka.
“Bukit Assek sebanyak 100 lebih sudah kita bantu, begitu juga dengan kawasan Pelawan. Jadi, dari mana mereka mendapat maklumat bahawa kawasan pembangkang tidak menerima bantuan,” katanya.
Dalam pada itu, satu kumpulan WhatsApp yang dibarisi wakil rakyat dari parti pembangkang turut ditubuhkan bagi memastikan tidak ada rakyat yang terputus bekalan sepanjang tempoh pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tercicir.
Kumpukan WhatsApp itu dibarisi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Irene Chang, ADUN Pelawan David Wong, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, termasuk Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Ahli Parlimen Selangau Baru Bian.
“Setiap hari saya mengemas kini semua maklumat berkaitan pengagihan bantuan kepada mereka di dalam kumpulan WhatsApp berkenaan,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Dr Annuar, JBBS telah menubuhkan WhatsApp Center supaya pengagihan bantuan kepada mereka yang layak menjadi lebih sistematik dan lancar.
Menerusi sistem berkenaan, katanya, mereka telah menerima sebanyak 1,671 permohonan pada hari Ahad (5 April) dan 635 permohonan pada Isnin.
“Daripada jumlah itu, kita telah mengagihkan bantuan kepada 357 penerima dari lima kawasan DUN di sini.
“Jumlah ini adalah hanya untuk pemohon menerusi WhatsApp Center sahaja, bagi kawasan rumah panjang kita akan agihkan sebaik sahaja bekalan sampai tidak lama lagi,” katanya.