
Pesawat MASwings jenis Viking DHC-6-400 Twin Otter sudah mula memberikan perkhidmatan kepada penduduk Lawas walaupun terpaksa mengharungi awan kelabu yang membawa hujan.
LAWAS: Lapangan terbang Lawas kembali beroperasi selepas ditutup bermula Jumaat hingga Sabtu lalu.
Penutupan sementara operasi lapangan terbang itu adalah berikutan banjir dan lumpur yang telah menutupi sebahagian landasan di lapangan terbang Lawas.
Operasi penerbangan diteruskan hari ini walaupun kelihatan pesawat jenis MASwings Viking DHC-6-400 Twin Otter yang digunakan untuk landasan di Lawas terpaksa meredah awan kelabu dan hitam di kawasan kaki Banjaran Croker di Daerah Lawas sejak awal hari ini.
Cuaca tidak menentu masih dialami Daerah Lawas apabila menjelang petang, hujan renyai dan kadangkala lebat.
Setakat ini keadaan Sungai Lawas dan Sungai Trusan masih berada pada tahap berjaga-jaga dan tidak ada kejadian banjir dilaporkan sehingga hari ini.
Oleh ADENG EDRUS