• Piala Datuk Amar Douglas Uggah Embas 2022
SEBANYAK lapan pasukan bakal memburu kejuaraan bagi merebut Piala Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas 2022 bermula minggu ini.
Presiden Persaruan Bola sepak Bahagian Betong, Abang Suhordie Abang Zaini berkata sebanyak dua perlawanan akan berlangsung pada minggu ini membabitkan pertemuan diantara juara Liga Betong 2022, Saratok FA menentang Skyline FC, Sabtu ini.
Selain itu, perlawanan kedua akan menemukan pasukan Jang BS menentang Loy69 Mangut FC yang diadakan pada Ahad ini.
“Kedua-dua perlawanan akan dijalankan pada jam 4 petang di Kompleks Sukan Betong,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Abang Suhordie berkata pada aksi seterusnya iaitu pada 4 November (Sabtu), perlawanan diantara pasukan GMP FC menentang Semarang Village, manakala pada 5 November (Ahad), pasukan naib juara Liga Betong 2022, Hermanos FC menentang Saribas United.
“Pasukan yang menang, akan melangkah ke pusingan separuh akhir yang dijangka dijalankan selepas Pilihanraya Umum Ke-15 nanti,” ujarnya.
Piala Datuk Amar Douglas Uggah Embas 2022, sang juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM7,000 termasuk piala dan pingat.
Sementara hadiah wang tunai RM5,000 serta piala dan pingat untuk naib juara, manakala RM2,000, piala dan pingat untuk dua pasukan yang tewas diperingkat separuh akhir selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Oleh ADI SAFARMAN