KUCHING: Sarawak semalam merekodkan lapan (8) lagi kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 371 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah berkata semua lapan kes tersebut dirawat di Hospital Umum Sarawak.
“Manakala, sebanyak 150 kes baharu individu yang disyaki (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,949 kes.
“Daripada jumlah itu, 2,419 kes adalah negatif dan 159 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” kata beliau dalam sidang media Covid-19 di Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Beliau menambah daripada jumlah 122 kes PUI baharu yang dilaporkan semalam di Kuching, 67 kes adalah disaring di Kompleks Belia dan Sukan dan 55 kes PUI disaring di Hospital Umum Sarawak.
“Statistik Kes PUI baharu mengikut Daerah adalah Kuching, 122 kes, Miri (12), Samarahan (9), Serian (4), Bau (1), Simunjan (1) dan Bintulu (1),” jelasnya.
Uggah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) turut memberitahu sehingga semalam terdapat empat (4) kluster utama yang telah dikenalpasti iaitu Kluster Good News Fellowship Conference denga jumlah 117 kes positif, Kluster Tabligh, 92 kes, kluster Family RK (Italy) 50 kes dan Kluster petugas kesihatan 13 kes.
“Terdapat kluster kecil sebanyak 13 kluster yang melibatkan ahli keluarga, rakan sepejabat, jiran, dalam penerbangan dan kakitangan kesihatan di mana jumlah kes positif dalam kluster ini adalah 53 kes.
“Siasatan masih lagi diteruskan untuk mengetahui punca jangkitan di kalangan kes ini,” tegas beliau.
Beliau menambah terdapat 46 kes yang masih dalam siasatan untuk pihak Jabatan Kesihatan menentukan sama ada kes-kes ini adalah dalam bentuk kluster ataupun berasingan.
“Memandangkan Bahagian Kuching dan Samarahan adalah kawasan (Red Zone) dan bagi meningkatkan kapasiti pusat saringan COVID-19 di Hospital Umum Sarawak dan Kompleks Belia dan Sukan, maka Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah menambah beberapa lagi pusat saringan iaitu di Kota Samarahan (untuk orang awam dengan saringan Pandu Lalu) dan Klinik Kesihatan Petra Jaya (untuk barisan hadapan dengan saringan Pandu Lalu).
“Bagi pusat saringan di Kota Samarahan yang telah dibuka 22 Mac yang lalu, sebanyak 1,604 orang telah di saring.
“Daripada jumlah sebanyak 1,346 sampel telah diambil dan sebanyak 35 kes adalah positif,” katanya.
Manakala Pusat Saringan Pandu Lalu yang telah dibuka pada 13 April lalu, sebanyak 137 sampel telah diambil.