Angka kematian insiden Virgo Transport 8 cecah 71, 64 masih hilang

Facebook
WhatsApp
KAPAL Virgo Transport 8 yang terbalik di Laut Jawa pada 13 September lalu membawa 243 orang dan 89 kenderaan dari Surabaya di Jawa Timur ke Banjarmasin di Kalimantan Selatan.

JAKARTA: Angka kematian insiden feri Virgo Transport 8 karam di Laut Jawa Indonesia meningkat kepada 71 selepas pasukan mencari dan menyelamat menemukan lima lagi mayat hari ini, dengan 64 masih hilang.

Operasi membawa keluar kelima-lima jasad itu dilakukan pada hari ke-16 operasi oleh pasukan penyelam terdiri daripada Kumpulan Khas Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), anggota Tentera Laut Indonesia dan unit SAR lain.

“Kelima-lima mangsa ditemukan oleh pasukan penyelam di dalam kapal karam itu,” kata ketua Basarnas Mohammad Syafii, menurut agensi berita Antara.

Beliau menambah mayat telah dibawa ke darat untuk pengecaman dan pengendalian lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan.

Virgo Transport 8, yang membawa 243 orang dan 89 kenderaan dari Surabaya di Jawa Timur ke Banjarmasin di Kalimantan Selatan, terputus hubungan kira-kira 2.00 pagi waktu tempatan pada 13 September.

Kapal tersebut kemudiannya ditemukan dalam keadaan terbalik hari yang sama sebelum tenggelam beberapa hari selepas itu.

Mohamad Syafii berkata setakat 6.00 petang waktu tempatan hari ini, 179 daripada 243 orang yang disenaraikan dalam manifes kapal itu telah dijumpai, termasuk 108 yang terselamat. – Bernama