BERLEPAS… Datuk Rubiah Wang menyempurnakan simbolik ‘flag off’ pada Program Kembara Merdeka Keluarga Malaysia di Rumah Rehat Pejabat Daerah Samarahan semalam.
KOTA SAMARAHAN: Memilih Melaka sebagai tuan rumah untuk perayaan Hari Malaysia pada 16 September ini adalah langkah bijak, kata Ahli Parlimen Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Katanya, selama ini sambutan secara bergilir antara Sarawak dan Sabah selaku tuan rumah, hanya dirasai rakyat di kedua-dua negeri Borneo ini.
“Sambutan Hari Malaysia selama ini hanya dirasai oleh (rakyat) Sabah dan Sarawak, kerana giliran sambutan tersebut hanya antara Sabah dan Sarawak. Oleh itu, sambutan ini kurang dirasai dan dinikmati oleh warga Semenanjung Malaysia.
“Memilih Melaka sebagai tuan rumah merupalan cadangan yang baik bagi kita memantapkan Keluarga Malaysia, kestabilan politik, memastikan kestabilan dari sudut pembangunan dan perpaduan bagi merancakkan lagi semangat patriotik kita sebagai sebuah negara.
“Penubuhan Malaysia ini bukan sahaja perlu dirasai oleh penduduk di Sabah dan Sarawak tetapi warga di Semananjung Malaysia juga perlu mengambil semangat dari pembentukan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Kembara Merdeka Keluarga Malaysia di Rumah Rehat Pejabat Daerah Samarahan, di sini semalam.
Kelmarin, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilaporkan sebagai berkata bahawa negeri itu berasa bangga dan bertuah apabila dipilih menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.
Rubiah juga berkata, sebagai contoh isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanya diketahui secara terperinci dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak tetapi kurang difahami oleh warga Semananjung Malaysia.
“Dengan ada sambutan di luar Sabah dan Sarawak, ia mampu menanam semangat solidariti dan semangat perpaduan yang ampuh dalam Keluarga Malaysia. Itu pandangan saya, satu cadangan yang baik.
“Dari sudut keadilan pembangunan dan pentadbiran juga perlu dilaksanakan sebaiknya berdasarkan (semangat) asal pembentukan Malaysia itu sendiri,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT