Tiga individu ditahan susulan video lelaki dipukul di Jalan Petanak tular

Facebook
WhatsApp
TIGA suspek yang ditahan susulan video tular berdurasi 25 saat.

KUCHING, 30 Oktober: Polis menahan tiga individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian serangan di Jalan Petanak di sini susulan penularan video memaparkan seorang lelaki dipukul di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu semalam, dan insiden dipercayai berlaku pada 18 Oktober lalu.

Beliau berkata, video berdurasi 25 saat itu memaparkan seorang lelaki dipukul oleh seorang lelaki lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

TANGKAP layar daripada video pergaduhan berdurasi 25 saat yang tular.

Alexson berkata, polis telah menahan tiga individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan siasatan masih diteruskan.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kes berkenaan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menyebabkan kecederaan kepada orang lain.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi IPD Kuching di talian 082-244444 atau pegawai penyiasat, Sgt Mancha, menerusi 019-5958260.