KUCHING: Persimpangan lampu isyarat di Tabuan Tranquility kini mulai beroperasi dan dibuka kepada orang ramai.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata persimpangan lampu isyarat Tabuan Tranquility adalah yang pertama dari empat persimpangan lampu isyarat di sepanjang Lebuhraya Kuching-Samarahan yang akan disiapkan.
“Kita menukar lima bulatan di sini menjadi persimpangan lampu isyarat untuk aliran trafik yang lebih lancar bagi kedua-dua hala.
“Saya telah diberitahu kerja untuk empat (bulatan) yang lain berjalan lancar dan akan siap menjelang akhir tahun. Saya juga yakin dengan keupayaan kontraktor untuk melaksanakannya,” katanya ketika berucap ketika menghadiri majlis perasmian pelancaran persimpangan lampu isyarat itu di sini, hari ini.
Uggah berkata, ia adalah sasaran kerajaan negeri untuk tempoh pembinaannya selesai seperti yang dijadualkan iaitu pada 10 Januari 2024.
“Penyiapan persimpangan pertama ini merupakan perkembangan yang sangat positif kerana orang ramai yang menggunakan jalan raya itu menantikan perkara ini dan empat persimpangan lampu isyarat yang lain siap.
“Saya tahu sejak beberapa hari lalu, jumlah trafik di sepanjang lebuh raya sangat sesak sehingga menyebabkan kesesakan teruk kerana beberapa jalan terpaksa ditutup bagi memudahkan proses naik taraf,” katanya.
Katanya, keseluruhan pakej naik taraf bernilai RM72.7 juta telah diberikan kepada kontraktor penyelamat, Glumox Abiz Sdn. Bhd selepas kontraktor pertama gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.
Oleh RYNNA SHA’ERRA