Kulit bakau jadi jawapan pewarna tekstil semula jadi lebih lestari, alternatif industri moden

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PENGUSAHA kraftangan, Beng Lim menunjukkan hasil produk kraftangan berasaskan pewarna semula jadi kulit bakau di ruang Ruai Hijau, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) di Kampung Budaya Sarawak (SCV) hari ini. Foto Nadya Victoria 

SANTUBONG: Dalam usaha mencari alternatif lebih mesra alam kepada industri tekstil, kulit pokok bakau kini digunakan sebagai sumber pewarna semula jadi yang unik, namun melalui proses penghasilan yang panjang sehingga berbulan-bulan bagi menghasilkan warna yang stabil dan berkualiti.

Pengusaha kraftangan, Beng Lim berkata, kulit bakau digunakan sebagai bahan asas untuk menghasilkan pewarna semula jadi yang kemudian diaplikasikan pada fabrik seperti kapas, linen dan kadang-kadang sutera tanpa melalui proses pelunturan bagi mengekalkan kualiti warna semula jadi.

Menurutnya, proses menghasilkan pewarna tersebut bukan sesuatu yang singkat kerana kulit bakau perlu direndam bersama air dan garam sekurang-kurangnya selama satu bulan, malah ada yang mengambil masa sehingga tiga bulan sebelum warna boleh digunakan secara stabil.

BENG Lim ketika ditemui Utusan Sarawak di ruang Ruai Hijau, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) di Kampung Budaya Sarawak (SCV) hari ini. Nadya Victoria 

“Biasanya saya rendam antara satu hingga tiga bulan untuk dapatkan warna yang stabil. Selepas itu barulah proses pewarnaan fabrik dilakukan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di ruang Ruai Hijau, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), hari ini.

Beng Lim berkata, penggunaan fabrik semula jadi seperti kapas 100 peratus dan linen amat penting bagi memastikan warna yang terhasil lebih menyerlah dan tahan lama, selain memberikan nilai estetik yang tersendiri berbanding pewarna kimia.

Selepas proses pewarnaan selesai, fabrik tersebut akan diproses menjadi pelbagai produk kraftangan termasuk beg dan aksesori, yang direka secara eksklusif oleh isterinya.

HASIL produk kraftangan berasaskan pewarna semula jadi kulit bakau. Foto Nadya Victoria 

Beliau berkata, setiap penghasilan produk dilakukan secara kecil-kecilan kerana prosesnya yang memakan masa panjang serta kapasiti pengeluaran yang terhad.

“Dalam satu kelompok pengeluaran pewarna hasil rendaman kulit bakau, air dan garam, kami hanya mampu hasilkan sekitar 30 beg sahaja kerana semua proses dibuat secara manual dan mengambil masa,” katanya.

Menurutnya lagi, pendekatan menggunakan bahan semula jadi itu bukan sahaja memberi nilai unik kepada produk, malah menjadi sebahagian usaha kecil dalam memperkenalkan alternatif lebih lestari dalam industri tekstil.

Beng Lim turut menjelaskan bahawa teknik pewarnaan semula jadi berasaskan bakau yang digunakan kini banyak melalui proses cuba dan ralat sejak memulakan usaha pada tahun 2018, sebelum mencapai kestabilan warna seperti hari ini.

Oleh Adele Rissa