KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berusaha memperkukuhkan perkara yang membabitkan dakwah bagi membina budaya dan akhlak Islam sepanjang enam tahun kepemimpinannya.
Oleh itu, beliau telah menerapkan Perlembangan Madinah untuk menjadi landasan kerajaan Sarawak dalam membentuk dan mengurus negeri ini yang menempatkan masyarakat majmuk.
“Apabila saya dilantik menggantikan Allahyarham Pehin Sri Adenan (Satem) memang sudah menjadi niat saya untuk mengukuhkan lagi kedudukan masyarakat Islam dan juga kedudukan agama kita untuk kita membayangkan kepada orang ramai bahawa agama kita adalah agama yang aman.
“Ini yang penting dan kita tidak mahu bergaduh dengan orang lain. Saya mempunyai sokongan kerjasama yang erat di antara pihak pentadbir iaitu perkhidmatan awam dengan pimpinan kerajaan untuk kita melaksanakan apa yang harus kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat dalam majlis kesyukuran agensi-agensi Islam anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata, perlembagaan bertulis pertama di dunia mengambil kira kepentingan rakyat bukan Islam di bawah naungan pemimpin Islam.
“Sebab itulah negeri ini mempunyai suasana yang begitu makmur kerana hak dan tanggungjawab orang Islam adalah setara dengan orang bukan Islam.
“Inilah satu perlembagaan yang mewujudkan pemerintahan Islam di bawah junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W dan dalam perlembagaan ini disebut mengenai tanggungjawab pemerintah Islam kepada mereka yang di bawah pemerintahannya termasuk orang bukan Islam yang harus ditadbir dan diurus dengan penuh bertanggungjawab serta adil dan saksama.
“Saya amat bersyukur kerana umat Islam begitu bersatu dalam satu jemaah yang mana kita juga diberi kepercayaan oleh masyarakat bukan Islam untuk menjadi nakhoda kapal bernama Sarawak,”katanya.
Turut hadir isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyempurnakan acara memotong pulut kuning sebagai simbolik penganjuran majlis, diikuti zikir marhaban dan bacaan doa kesyukuran beramai-ramai.
Terdahulu, beliau mengerjakan solat Maghrib dan Isyak berjemaah dan mengikuti bacaan yassin bersama-sama hadirin yang hadir.
Majlis kesyukuran itu melibatkan agensi Islam di bawah MIS iaitu Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Mufti Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Tabung Baitulmal Sarawak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak, Tabung Haji, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak, Pejabat Agama Islam Bahagian Kuching/Sri Aman/Serian, Ma’had Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub, SK Agama Abdul Kadir Hassan dan SMK Agama Tun Ahmad Zaidi.
Oleh NUR AIN OTSMAN