Ubat melalui pos: Jangan terpedaya scam, pendaftaran dan penghantaran percuma

Facebook
WhatsApp
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan pihak yang menawarkan pendaftaran berbayar bagi Program Ubat Melalui Pos (UMP), yang pendaftaran dan penghantarannya adalah percuma mulai 1 Oktober ini.

PUTRAJAYA: Orang ramai khususnya warga emas diingatkan supaya tidak terpedaya dengan pihak yang mengenakan bayaran atau menawarkan pendaftaran program Ubat Melalui Pos (UMP) menerusi saluran tidak rasmi, susulan pelaksanaan penghantaran ubat secara percuma mulai 1 Oktober ini.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pendaftaran bagi program itu hanya dibuat melalui fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dan tiada bayaran dikenakan bagi pendaftaran program UMP.

“Ubat Melalui Pos ini pendaftarannya (melalui) fasiliti KKM. Bukan melalui mana-mana akaun TikTok atau Facebook. Tidak ada proses pendaftaran selain melalui KKM itu sendiri,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Pembiayaan Inisiatif UMP, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Fahmi berkata pesakit berdaftar yang menerima ubat itu tidak perlu membayar caj penghantaran kerana kerajaan akan menanggung kos penghantaran menerusi program UMP mulai 1 Oktober depan.

Beliau berkata peruntukan awal sebanyak RM5 juta telah diteliti bagi pelaksanaan inisiatif itu, namun jumlah berkenaan akan ditingkatkan susulan keputusan untuk memastikan semua negeri mendapat manfaat.

“Sebelum ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ada memaklumkan berdasarkan perbincangan dengan KKM, ada beberapa negeri yang telah memohon untuk tidak terlibat dalam program ini.

“Tapi atas faktor keprihatinan dan juga semangat Malaysia MADANI, maka kita telah membuat keputusan untuk menyediakan bajet tambahan untuk pastikan semua negeri mendapat manfaat UMP,” katanya.

Fahmi berkata kira-kira 87,000 pesakit berdaftar di seluruh negara dianggarkan mendapat manfaat daripada program berkenaan dalam tempoh setahun.

Beliau berkata sebelum ini pesakit perlu menanggung sendiri kos penghantaran ubat, namun kos berkenaan akan ditanggung kerajaan menerusi pembiayaan yang disediakan.

UMP dilaksanakan sejak 2011 dan sebelum ini penerima dikenakan kos penghantaran RM5.70 di Semenanjung serta RM12.50 di Sabah dan Sarawak.

Fahmi berkata UMP merupakan satu lagi bentuk kerjasama Kementerian Komunikasi dalam membantu KKM selepas pelaksanaan Program Peningkatan Kesalinghubungan Internet di Fasiliti Kesihatan (PERSADA).

Beliau berkata menerusi PERSADA, peruntukan sehingga RM1 bilion disediakan bagi meningkatkan kesalinghubungan dan akses Internet di semua 150 hospital kerajaan serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam di seluruh negara. – Bernama