
PETRA JAYA: Sarawak melakar satu lagi sejarah di pentas antarabangsa apabila bandar raya Kuching berjaya memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah Interhash 2028, antara acara hashing terbesar dan paling berprestij di dunia.
Kejayaan yang diumumkan pada Interhash 2026 di Yogyakarta, Indonesia itu bukan sahaja mengangkat nama Sarawak di mata dunia, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran acara pelancongan dan pengembaraan bertaraf antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu detik bersejarah yang mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan Sarawak menjadi hos kepada acara global berskala besar.
“Ini adalah detik yang amat membanggakan bagi Sarawak. Interhash 2028 memberi peluang kepada kita untuk mempamerkan pengalaman unik Sarawak yang tidak dapat ditawarkan di tempat lain.
“Matlamat kami adalah memastikan setiap peserta yang datang ke Sarawak menjadi duta seumur hidup bagi destinasi ini dengan membawa pulang cerita tentang keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan keramahan rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Interhash Kuching 2028, di sini, hari ini.
Interhash yang berlangsung setiap dua tahun merupakan perhimpunan terbesar komuniti Hash House Harriers dunia, menghimpunkan ribuan peserta dari lebih 50 negara dan lebih 450 kelab hash di seluruh dunia.
Dari 14 hingga 16 Julai 2028, Kuching dijangka menjadi tumpuan komuniti hashing antarabangsa apabila sehingga 4,000 peserta membanjiri bandar raya ini untuk menikmati pengalaman pengembaraan yang menggabungkan cabaran lasak, persahabatan dan pertukaran budaya.
Lebih membanggakan, acara berkenaan dijangka menjana kira-kira RM12 juta hasil pelancongan kepada Sarawak, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada sektor penginapan, pengangkutan, pelancongan, makanan dan minuman, peruncitan serta perusahaan komuniti tempatan.
Menurut Abdul Karim, dalam tempoh dua tahun akan datang, Jawatankuasa Penganjur Interhash 2028 akan melaksanakan kempen promosi antarabangsa secara agresif menerusi pelbagai acara dan jelajah hashing di seluruh dunia bagi memastikan Kuching menjadi destinasi yang dinanti-nantikan menjelang 2028.
Keistimewaan Interhash 2028 terletak pada pengalaman larian denai hutan hujan yang bakal membawa peserta meneroka keindahan alam semula jadi Sarawak serta suasana perkampungan yang autentik.
Empat kategori larian ditawarkan iaitu Ball Breaker Run sejauh 26 hingga 28 kilometer, Long Run (7 hingga 10 kilometer), Medium Run (5 hingga 7 kilometer) dan Short Run (3 hingga 5 kilometer), dengan setiap laluan dihadkan kepada 160 peserta bagi mengekalkan pengalaman eksklusif.
Sebagai simbol semangat kebersamaan dan kebajikan yang menjadi tradisi Interhash, acara ikonik Larian Gaun Merah akan diadakan sehari sebelum program utama, dengan semua hasil kutipan disalurkan kepada badan amal tempatan.
Kejayaan membawa Interhash 2028 ke Kuching merupakan hasil kerjasama erat antara Kuching City Hash Club, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta pelbagai pihak berkepentingan yang berganding bahu menjayakan misi meletakkan Sarawak di peta acara pengembaraan dunia.
Oleh Norman B