Kuching City teliti pembelian peralatan pemulihan pemain

Facebook
WhatsApp
DATUK Fazzrudin Abdul Rahman ketika ditemui Utusan Sarawak di Dewan Undangan Negeri, di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA, 16 Oktober: Kuching City FC akan meneliti keperluan pembelian peralatan pemulihan pemain bagi membantu pasukan menghadapi jadual perlawanan padat, namun tidak merancang untuk membina pusat pemulihan khusus dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, pihak pengurusan bersetuju dengan pandangan ketua jurulatih

, Aidil Sharin Sahak mengenai kepentingan kemudahan pemulihan, terutama ketika pasukan perlu mengharungi perlawanan berturut-turut dalam pelbagai pertandingan.

Beliau berkata, penambahbaikan akan dilakukan secara berperingkat berdasarkan kemampuan dan sumber kewangan kelab, dengan mengambil kira manfaatnya kepada pemain serta keseluruhan pengurusan pasukan.

“Kita sedia maklum dan saya bersetuju dengan ketua jurulatih kita kerana kita mempunyai banyak perlawanan berturut-turut dan sudah tentu kita memerlukan kemudahan pemulihan pemain.

“Kita mahu memperbaiki cabaran ini satu persatu. Untuk menyelesaikan semuanya secara serentak agak mustahil kerana kita bermula dengan sumber yang sedia ada,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak mengenai keperluan kemudahan pemulihan pemain Kuching City FC di Dewan Undangan Negeri, hari ini. 

Menurutnya, buat masa ini kelab tidak bercadang membina pusat pemulihan baharu, sebaliknya akan meneliti pembelian peralatan bersesuaian untuk kegunaan pemain.

Katanya, perbincangan akan diadakan bersama ketua jurulatih dan pegawai fisioterapi bagi mengenal pasti peralatan yang paling diperlukan serta mampu diperoleh mengikut kemampuan kewangan kelab.

“Kita akan berbincang dengan ketua jurulatih dan pegawai fisioterapi. Terdapat banyak jenis peralatan dan kita perlu menilai mana yang mampu dibeli serta paling penting untuk keperluan pasukan,” katanya.

Fazzrudin berkata, perbincangan itu akan dilakukan secepat mungkin sebelum langkah seterusnya ditentukan berdasarkan keperluan yang dikenal pasti.

Bagaimanapun, beliau mengakui belum dapat memastikan langkah jangka pendek yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan proses pemulihan pemain kerana perkara itu perlu dirujuk kepada pegawai fisioterapi.

Dalam pada itu, beliau berkata, peningkatan kos perjalanan menjadi antara cabaran utama kelab pada musim ini, terutama apabila pasukan perlu berulang-alik ke luar negara untuk menyertai pertandingan.

Justeru, katanya, pengurusan perlu mengimbangi perbelanjaan dengan keperluan mengekalkan kekuatan skuad serta momentum pasukan sepanjang musim.

Beliau berkata, Kuching City FC akan terus mencari ruang untuk meningkatkan keupayaan pasukan dari tahun ke tahun, termasuk menilai keperluan memperkukuh skuad bagi menghadapi jadual pertandingan yang semakin mencabar.

Selepas Aidil membangkitkan isu berkenaan pada sidang media selepas perlawanan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) antara Kuching City FC dan Kitchee di Stadium Taha Ariffin, malam tadi, keperluan menyediakan kemudahan pemulihan pemain kini mendapat perhatian pihak pengurusan kelab.

Aidil sebelum ini menyentuh cabaran yang dihadapi Kuching City dalam mengharungi jadual padat melibatkan lima pertandingan, sekali gus memerlukan pengurusan kecergasan, pemulihan dan penggiliran pemain yang lebih teliti.

Beliau turut mengakui Kuching City berdepan kekangan sumber kewangan berbanding kelab besar, selain kekurangan kemudahan pemulihan yang dapat membantu pemain kembali cergas selepas mengharungi perlawanan berturut-turut.

Cabaran itu memperlihatkan kepentingan meningkatkan sokongan terhadap pemain, bukan sahaja bagi mengekalkan kecergasan mereka, malah memastikan kedalaman skuad dan momentum pasukan terus terpelihara sepanjang musim.

Oleh Shahrul Qaizat

Elon Musk perkenal kereta ‘terbang’ Tesla

HOUSTON, Amerika Syarikat, 16 Oktober: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, memperkenalkan kereta yang disifatkannya sebagai kereta ‘terbang’ dan dilengkapi