KUCHING, 11 Oktober: Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Miri turun tujuh mata kepada 97 setakat 3.00 petang ini berbanding 104 pada tengah hari tadi, sekali gus menyaksikan kawasan itu kembali ke kategori sederhana selepas mencatat bacaan tidak sihat sebelum ini.
Menurut status IPU Sarawak yang dikeluarkan oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), penurunan itu meletakkan bacaan IPU Miri dalam lingkungan 51 hingga 100, iaitu kategori sederhana.
Selain Miri, beberapa kawasan lain di Sarawak turut mencatat penurunan bacaan IPU dalam tempoh berkenaan.
Kuching merekodkan penurunan daripada 86 kepada 84, manakala Samarahan turun daripada 76 kepada 74. Bacaan di Serian turut menurun daripada 73 kepada 70, sementara Sri Aman mencatat penurunan lebih ketara, iaitu daripada 65 kepada 59.
Bacaan IPU di Sibu turun daripada 87 kepada 86, Kapit daripada 66 kepada 65, Bintulu daripada 98 kepada 94 dan Samalaju daripada 98 kepada 96.
Penurunan turut direkodkan di ILP Miri, daripada 83 kepada 79, Limbang daripada 84 kepada 83, Lundu daripada 96 kepada 94, Lubok Antu daripada 73 kepada 71, Lawas daripada 91 kepada 83 dan Bario daripada 63 kepada 61.
Sementara itu, beberapa kawasan mencatat bacaan yang kekal atau meningkat sedikit. Bacaan IPU di Sarikei kekal pada 84, manakala Tebedu pada 64 dan Kanowit pada 87.
Sebaliknya, Mukah mencatat peningkatan daripada 79 kepada 80, manakala Belaga meningkat daripada 74 kepada 80 dalam tempoh yang sama.
Secara keseluruhan, semua kawasan yang mempunyai data terkini setakat 3.00 petang ini merekodkan bacaan IPU dalam kategori sederhana, iaitu antara 51 hingga 100.
Bagaimanapun, data bacaan IPU terkini bagi Betong masih belum tersedia setakat waktu pelaporan.
Oleh Shikin Mahmud




