NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Malaysia berada di landasan yang tepat untuk memutuskan rantaian jangkitan pandemik Covid-19, sekali gus menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, ini susulan daripada kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bahawa Kadar Kebolehjangkitan di Malaysia kini telah menurun daripada 3.55 kepada 0.3.
“Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Kadar Kebolehjangkitan atau Ro ‘R Naught’ 3.55 iaitu pada tahap tinggi.
“Bagaimanapun, pelaksanaan PKP telah menunjukkan trend penurunan dengan pelbagai langkah pencegahan dan kawalan kesihatan awam dilaksanakan antaranya duduk di rumah, penjarakan sosial, sentiasa cuci tangan, guna penutup hidung dan mulut dan membuat saringan Covid-19.
“Sejak PKP pertama, kedua, ketiga dan keempat serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan disertakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam Kadar Kebolehjangkitan menurun kepada 0.3.
“Ini suatu perkembangan positif yang ditunjukkan negara dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19,” katanya ketika mengulas mengenai perkembangan terkini Covid-19 di laman sosial Facebook rasmi miliknya.
Dr Hazland yang juga pengamal perubatan berkata sejak kebelakangan ini, seperti diumumkan Ketua Pengarah KKM trend kes kumulatif yang pulih dan discaj melebihi kes bhaaru Covid-19.
“Selain menurunkan Kadar Kebolehjangkitan, perkembangan positif yang ditunjukkan terhadap kes kumulatif yang pulih dan sembuh serta dicaj daripada hospital kian meningkat juga suatu perkara yang baik.
“Situasi ini menunjukkan kualiti perubatan kita di Malaysia sangat tinggi dan diiktiraf dunia,” ujarnya lagi.
Jelasnya, tidak hairanlah Datuk Dr Noor Hisham telah diiktiraf sebagai seorang pakar perubatan unggul dunia dalam menangani Covid-19 oleh portal berita berbahasa Inggeris, Chinese Global TV Network (CGTN) setanding dua nama besar lain, iaitu pakar bidang penyakit jangkitan di Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.
Justeru, untuk meneruskan penurunan Kadar Kebolehjangkitan dan meningkatkan kes kumulatif pulih dari hospital, langkah Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP dan PKPB perlu terus dipatuhi rakyat.
“Ingatlah setiap arahan yang diarahkan kerajaan dan pihak berkuasa bukan untuk menyusahkan rakyat, tetapi semua ini adalah untuk kebaikan dalam usaha membendung penularan wabak pandemik Covid-19,” tegasnya.