MIRI: Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kualiti kerja naik taraf Dewan Serbaguna Kampung Pulau Melayu bernilai RM200,000 selepas pemeriksaan mendapati beberapa kecacatan termasuk kebocoran dan mutu kerja yang kurang memuaskan.
Bercakap kepada Utusan Sarawak, Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berkata, hasil kerja pengubahsuaian berkenaan tidak mencapai tahap yang diharapkan dan beliau telah mengarahkan kontraktor melaksanakan kerja pembaikan dengan segera.

Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut diminta memantau proses pembaikan secara rapi bagi memastikan semua kecacatan dapat diselesaikan dengan sempurna.
“Kami menjalankan pemeriksaan ketika hujan lebat dan mendapati terdapat takungan air di kawasan yang telah ditutup dengan dinding. Di lokasi berkenaan, saya terus mengarahkan kontraktor membaiki serta menyelesaikan semua masalah kebocoran dengan segera, manakala JKR perlu memantau kerja-kerja pembaikan bagi memastikan ia dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Menurut Ting, pemeriksaan ketika hujan mendedahkan beberapa kelemahan projek termasuk kebocoran pada bumbung asal yang dipercayai berpunca daripada faktor usia.
Beliau berkata, sambungan antara kanopi bumbung baharu dengan bangunan sedia ada juga tidak ditutup dengan sempurna sehingga menyebabkan air hujan meresap masuk ke dalam dewan.
Selain itu, katanya, beberapa tingkap baharu didapati tidak mempunyai perlindungan hujan yang mencukupi, menyebabkan air memasuki dewan ketika hujan lebat disertai angin kencang.
“Mutu kemasan termasuk kerja mengecat dinding juga didapati kurang memuaskan,” katanya.
Projek naik taraf yang dibiayai menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 dengan peruntukan RM200,000 itu bermula pada 6 Januari lalu dan siap lebih awal pada 19 Jun berbanding tarikh siap asal pada 5 Julai.
Walaupun kontraktor memaklumkan kebocoran bumbung membabitkan struktur asal yang tidak termasuk dalam skop projek, Ting tetap mengarahkan supaya punca masalah dikenal pasti dan kerja pembaikan dilaksanakan bagi mengelakkan gangguan terhadap penggunaan dewan.
Beliau menegaskan, walaupun projek berkenaan telah siap lebih awal, ia masih berada dalam tempoh liabiliti kecacatan selama setahun.
Sehubungan itu, kontraktor bertanggungjawab membaiki semua kecacatan yang dikenal pasti, manakala JKR akan terus memantau kerja pembaikan sehingga semua masalah diselesaikan dengan memuaskan.




