SIBU, 22 November: Peruntukan berjumlah RM200,000 menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sejak 2022 disalurkan bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Uk Daik.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata, peruntukan bagi tempoh 2022 hingga 2026 itu membolehkan beberapa kemudahan asas sekolah berkenaan dinaik taraf demi manfaat guru dan murid.
Menurutnya, projek berkenaan merangkumi pembinaan bumbung tambahan, menaik taraf kawasan tempat letak kereta dan permukaan kawasan sekolah, selain kerja pendawaian semula serta penggantian kabel elektrik.
“Walaupun projek ini bukan pembangunan berskala besar, ia memberi manfaat secara langsung kepada warga sekolah, khususnya dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan selesa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-100 SJK (C) Uk Daik dan Hari Kembali Ke Sekolah, di sini, hari ini.
Chieng berkata, penambahbaikan infrastruktur pendidikan bukan sekadar pembangunan fizikal, sebaliknya merupakan pelaburan penting bagi menyediakan suasana pembelajaran kondusif kepada generasi muda.
Katanya, usaha meningkatkan kemudahan sekolah perlu diteruskan bagi memastikan murid dapat belajar dalam persekitaran yang selamat, selesa dan berkualiti.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyifatkan sambutan ulang tahun ke-100 sekolah itu sebagai pencapaian bersejarah yang mencerminkan kegigihan serta pengorbanan generasi terdahulu dalam memperjuangkan pendidikan.
Menurutnya, perkembangan sekolah sepanjang satu abad itu hasil komitmen berterusan pengasas, lembaga pengurusan, guru, ibu bapa dan masyarakat setempat yang berdepan pelbagai cabaran serta kekangan sumber.

Beliau berkata, semangat perjuangan generasi terdahulu perlu diwarisi kerana pendidikan bukan sahaja mampu mengubah kehidupan seseorang, malah melahirkan modal insan berkualiti untuk pembangunan masyarakat.
Chieng turut berharap sambutan Hari Kembali Ke Sekolah dapat mengeratkan hubungan antara bekas pelajar dengan alma mater, selain menggalakkan mereka terus menyumbang kepada pembangunan sekolah.
Mengulas perkembangan pendidikan masa kini, beliau berkata, kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) menuntut institusi pendidikan menyesuaikan pendekatan pembelajaran bagi melahirkan generasi kreatif, berfikiran kritis dan berkeyakinan.
Bagaimanapun, katanya, pembentukan sahsiah, nilai moral dan tanggungjawab terhadap masyarakat perlu terus menjadi teras pendidikan meskipun dunia mengalami perubahan pesat.
Turut hadir Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Penghulu Lau Hieng Wuong, Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ulang Tahun Ke-100 SJK (C) Uk Daik, Ling Kuok Thong dan Guru Besar SJK (C) Uk Daik, Lau Nai Ling.
Oleh Akun Giman



