
LUNDU: Semua kakitangan MASwings bakal diserap ke dalam AirBorneo seperti yang dipersetujui dalam perjanjian antara pihak berkaitan.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata keutamaan akan diberikan kepada kakitangan sedia ada sebelum sebarang pengambilan baharu dibuat.
“Kami akan menyerap semua kakitangan sedia ada. Jika ada yang memilih untuk tidak bersama kami, barulah kekosongan itu boleh diisi dengan tenaga kerja luar.
“Buat masa ini, pihak kami belum membuka sebarang pengambilan baharu.
“Bila kita berkembang nanti, sudah tentu kita perlukan lebih ramai tenaga kerja. Juruterbang, kru kabin, jurutera—semuanya akan diperlukan. Tapi sekarang, kita perlu ikut perjanjian dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa lawatan rasmi ke Akademi Aeroangkasa di CENTEXS Lundu, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa sesi perjumpaan bersama pihak pengurusan kakitangan bakal diadakan dalam masa terdekat bulan ini bagi menjelaskan perkembangan semasa.
Pada 12 Februari lalu, kerajaan Sarawak memeterai perjanjian jual beli dengan Malaysia Aviation Group (MAG), sekali gus memuktamadkan pengambilalihan MASwings yang kini dinamakan sebagai AirBorneo.
Oleh Masrin Affirah