KPM perkukuh persiapan pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun Empat

Facebook
WhatsApp
Kementerian Pendidikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mempergiat persediaan bagi memastikan pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun Empat yang bermula tahun ini berjalan lancar, teratur serta berkesan.

Menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, KPM memaklumkan kerangka dasar dan hala tuju pelaksanaan Matriks Pembelajaran telah dimuktamadkan serta mendapat persetujuan pada peringkat kementerian.

“KPM komited untuk memastikan pelaksanaan Matriks Pembelajaran dilaksanakan secara terancang, telus dan sistematik menerusi kerjasama semua pihak berkepentingan, selaras dengan aspirasi untuk memperkukuh kualiti, keterangkuman dan keberkesanan sistem pendidikan negara,” menurut kementerian itu.

Ia bagi menjawab soalan Senator Baharuddin Ahmad berhubung status terkini pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun Empat dan persediaan yang dibuat bagi memastikan kesediaan murid.

KPM berkata format dan instrumen pentaksiran telah disediakan berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), meliputi empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, selain Bahasa Cina dan Bahasa Tamil bagi murid tahun empat yang akan menduduki pentaksiran itu pada 6 hingga 8 Oktober ini.

Bagi memastikan pelaksanaannya seragam, kementerian turut menyediakan Panduan Pengurusan Matriks Pembelajaran yang merangkumi tatacara pendaftaran murid, penyediaan bahan pentaksiran, pengurusan petugas peperiksaan, pelaporan serta mekanisme jaminan mutu.

Selain itu, KPM melaksanakan penataran dan sesi libat urus bersama jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD), sekolah, ibu bapa dan pihak berkepentingan, di samping mengadakan taklimat pengoperasian serta memperluas hebahan menerusi portal rasmi dan media sosial.

Menurut KPM, bagi meningkatkan kefahaman semua pihak, dokumen berkaitan Matriks Pembelajaran turut dimuat naik di portal rasmi Lembaga Peperiksaan, iaitu soalan lazim, bahan pembentangan sesi libat urus, format instrumen dan contoh item pentaksiran Matriks Pembelajaran Tahun Empat Tahun 2026.

“Pelaksanaan ini diharapkan dapat menyediakan maklumat yang responsif, boleh dipercayai dan berasaskan bukti bagi menyokong penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran, pelaksanaan intervensi yang lebih berfokus serta penggubalan dasar pendidikan terhadap keperluan murid dan sistem pendidikan,” menurut KPM. – Bernama