SIBU, 18 November: Dua suspek kes bunuh di Taman Foochow, Jalan Gambir pada 7 November lepas, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sibu hari ini atas tuduhan membunuh.
Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada kedua-dua tertuduh yang merupakan ayah serta anak, masing-masing berusia 42 dan 16 tahun, memandangkan kes adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian seorang remaja berusia 19 tahun, kira-kira 12.30 tengah malam pada 7 November lalu.
Majistret Romario Jonoi menetapkan sebutan semula kes pada 28 Disember ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syazani Izzaddin Abdul Muadzam, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Boston Ho.
Mahkamah turut memerintahkan remaja berusia 16 tahun itu ditahan di Sekolah Tunas Bakti, manakala bapanya direman di Penjara Pusat Sibu.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, seorang lagi suspek berumur 15 tahun didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana didakwa menyebabkan bukti pembunuhan dilupuskan.
Tertuduh yang juga sepupu kepada remaja berusia 16 tahun itu didakwa atas pertuduhan membersihkan sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian, dengan membungkusnya menggunakan plastik lutsinar sebelum menyembunyikannya di dalam longkang berisi air di belakang sebuah gudang perabot di Lorong Alan 5D.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 7.00 malam pada 7 November lalu, dengan remaja berkenaan dituduh bertindak dengan niat melindungi pesalah daripada dikenakan hukuman undang-undang.
Mahkamah membenarkan pesalah remaja itu dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 tanpa deposit, dengan ibu bapanya bertindak sebagai penjamin.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 28 Disember ini sebagai tarikh pengurusan kes terhadap tertuduh yang diwakili peguam Tevaasiny Vijayakumar.
Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Sementara itu, Seksyen 201 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Dalam perkembangan berkaitan, 20 individu lain yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 setiap seorang mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.
Seramai 23 individu berusia antara 16 hingga 42 tahun telah ditahan berhubung kes tersebut.
Oleh Akun Giman




