BARAM, 18 November: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala menyeru seluruh anggota Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Mulu supaya terus mengekalkan perpaduan dan semangat setia kawan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Beliau berkata, semangat kerjasama dan kebersamaan dalam kalangan anggota parti penting bagi memastikan hubungan yang telah terjalin terus diperkukuh.
“Kita perlu melihat rekod perkhidmatan, pencapaian serta usaha pembangunan yang telah dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pra-Krismas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Mulu di sebuah hotel di Miri, malam Ahad lalu.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Pergerakan Belia PBB Cawangan Mulu dengan penyertaan Pergerakan Bapa, Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda serta ahli parti di cawangan tersebut.

Menurut Gerawat, penganjuran majlis itu bukan sekadar ruang untuk berkumpul dan berhibur, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim, memperkukuh perpaduan serta menghargai semangat kerjasama dalam kalangan ahli parti.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh pelaksanaan beberapa projek infrastruktur utama yang bertujuan meningkatkan jaringan perhubungan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar.
Katanya, projek jaringan jalan raya Miri-Marudi-Mulu-Long Lama (MMMLL) dan Rangkaian Jalan Raya Penghubung Sarawak Sabah 2 (SSLR2) merupakan antara usaha pembangunan yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan akses perhubungan, khususnya di kawasan pedalaman.
Beliau berkata, walaupun pembangunan di Ulu Baram dan Mulu berdepan pelbagai cabaran dari segi geografi dan logistik, keperluan penduduk luar bandar terus diberikan perhatian dalam agenda pembangunan negeri.

Mulu.
Menerusi perkongsian dalam aplikasi WhatsApp, Gerawat turut menyatakan keyakinan bahawa perpaduan, kerjasama dan semangat kekeluargaan yang ditunjukkan oleh ahli parti merupakan nilai penting yang perlu terus dipelihara.
Beliau berharap semangat kebersamaan itu dapat dikekalkan, bukan sahaja dalam kalangan ahli parti, malah dalam kehidupan bermasyarakat.
Pada masa sama, beliau turut menasihati masyarakat yang bakal pulang ke kampung halaman sempena sambutan Krismas supaya sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan pergi dan balik.
Oleh Jiku Juguong




