Kos baja meningkat, pekebun perlu perkasa tanaman makanan

Facebook
WhatsApp
MANFAATKAN SEBAIKNYA.....Allan merakam kenangan bersama para penerima bantuan baja menerusi Program BBSKL di Machan, semalam. Foto Facebook PBB N.50 Machan

KANOWIT: Kenaikan harga baja akibat ketidaktentuan dan konflik di Asia Barat, terus memberi tekanan kepada pekebun berikutan peningkatan kos input pertanian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong berkata, keadaan itu secara tidak langsung memberi kesan kepada kos pengeluaran sektor pertanian dan pendapatan golongan pekebun.

“Kenaikan harga baja turut dipengaruhi ketidaktentuan dan konflik yang berlaku di Asia Barat, memberi kesan kepada kos pengeluaran sektor pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyerahan bantuan baja menerusi Program Bantuan Baja Kelapa Sawit dan Lada (BBSKL) di Machan, semalam.

Menurut Allan, masyarakat tidak seharusnya hanya bergantung kepada tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan lada, sebaliknya perlu memberi perhatian kepada sektor tanaman makanan.

Katanya, usaha meningkatkan pengeluaran makanan tempatan penting bagi memastikan keselamatan makanan, khususnya di Sarawak.

“Tanaman makanan amat penting bagi menjamin keselamatan makanan. Oleh itu, kita perlu memastikan pengeluaran makanan tempatan terus diperkasakan,” ujarnya.

Beliau menegaskan kerjasama erat antara wakil rakyat, Jabatan Pertanian dan komuniti setempat amat penting bagi memastikan bantuan serta khidmat sokongan kepada golongan petani dapat disampaikan dengan berkesan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Daerah Kanowit atas komitmen dan usaha berterusan dalam memberikan khidmat serta sokongan kepada komuniti petani di kawasan ini,” ujarnya lagi.

Allan berharap bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi membantu meringankan beban pekebun, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos input pertanian.

Pada majlis berkenaan, seramai 60 pekebun kelapa sawit di kawasan Machan menerima bantuan menerusi Program BBSKL.

Oleh Akun Giman