KUALA LUMPUR: Korban nyawa di Myanmar terus meningkat kepada 701 orang sejak tunjuk perasaan membantah rampasan kuasa tentera meletus, lapor Agensi Anadolu.
Laporan harian Badan Amal untuk Tahanan Politik berkata terdapat lagi korban terbaru membabitkan orang awam apabila pasukan keselamatan bertindak campur tangan.
Dalam kemas kini terbaru itu turut mendedahkan seramai 3,012 orang ditahan.
Sebanyak 656 waran tangkap dikeluarkan untuk penunjuk perasaan yang membantah rampasan kuasa. Sekurang-kurangnya 82 terbunuh di Bago pada Jumaat apabila tentera campur tangan.
Tentera Myanmar melancarkan kudeta 1 Februari lalu, mendakwa berlaku penipuan semasa pilihan raya 8 November 2020 sekali gus menyebabkan
negara ini dicengkam ketegangan politik.
Tentera menahan beberapa pegawai dan pemimpin parti pemerintah, termasuk Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi selain mengisytiharkan darurat selama setahun.
Pegawai tinggi yang ditahan dihadapkan ke mahkamah tentera, ketika demonstrasi terus berleluasa.
Sementara itu, di Bangkok selepas tidak dibenarkan memasuki Myanmar, utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Myanmar,
Christine Schraner Burgener tiba di Bangkok pada Jumaat bagi memulakan lawatan ke negara Asia.
Kementerian Luar Thailand (MFA) berkata Schraner Burgener yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, sedang menjalani kuarantin tujuh hari.
“Selepas kuarantin, beliau dijadual bertemu beberapa pegawai kanan kerajaan, termasuk wakil Perdana Menteri dan Menteri Luar Don Pramudwinai dan pegawai agensi PBB.
“Kunjungan ke Thailand bertujuan bertukar dan berkongsi pandangan serta perspektif mengenai situasi di Myanmar, untuk mencari jalan penyelesaian,” kata MFA dalam satu kenyataan di sini semalam.
Sebagai negara jiran, MFA berkata, Thailand turut bimbang dengan situasi Myanmar dan kesannya terhadap rakyat.
“Kami komited untuk bekerjasama dan terlibat secara konstruktif dengan masyarakat antarabangsa, termasuk melalui PBB dan ASEAN untuk mencari penyelesaian secara aman bagi Myanmar dan rakyatnya.
“Kami berharap lawatan ke rantau ini oleh Utusan Khas dapat menyumbang ke arah penyelesaian,” tambah kenyataan itu.
“Baru tiba di BKK (Bangkok) untuk rundingan. Saya kecewa, semalam Tatmadaw (angkatan tentera) membalas permintaan saya dengan mengatakan mereka tidak bersedia menerima saya.
Saya sedia untuk berdialog. Keganasan tidak akan membawa kepada sebarang penyelesaian,” tulis beliau di Twitter.
Sementara itu, AFP melaporkan lawatan Schraner Burgener ke Myanmar untuk bertemu pemimpin tertinggi tentera namun, jurucakap junta Zaw Min Tun berkata, “kami tidak ada sebarang rancangan untuk beri kebenaran buat masa ini “.
Sekurang-kurangnya 600 orang awam terbunuh ekoran tunjuk perasaan yang tercetus sejak rampasan kuasa tentera 1 Februari lalu dan hampir 3,000 lagi ditahan. – Bernama