
BERLIN: Kontrak jurulatih Australia Tony Popovic dilanjutkan sehingga 2027, sehari sebelum perlawanan pembukaan pasukannya di Piala Dunia menentang Turkiye pada Sabtu.
Badan Bola Sepak Australia memaklumkan bahawa Popovic akan terus mengendalikan pasukan sehingga Piala Asia AFC tahun depan di Arab Saudi.
Popovic pernah mewakili pasukan kebangsaan Australia, Socceroos, pada Piala Dunia FIFA 2006 dan dilantik sebagai jurulatih pada 2024.
Beliau mencatatkan 10 kemenangan daripada 18 perlawanan, selain empat keputusan seri dan empat kekalahan.
Australia layak ke Piala Dunia buat kali ketujuh. Selain Turkiye, mereka akan menentang tuan rumah bersama, Amerika Syarikat dan Paraguay dalam peringkat kumpulan.
“Tony ialah jurulatih bertaraf dunia dan beliau telah membuktikan keupayaannya untuk meraih keputusan cemerlang sambil membangunkan bakat pada masa yang sama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Badan Bola Sepak Australia Martin Kugeler.
Popovic pula berkata: “Adalah satu penghormatan dan keistimewaan untuk memimpin Socceroos dan ia satu tanggungjawab yang amat saya hargai serta tidak pernah saya ambil mudah.
“Tumpuan utama saya ketika ini Piala Dunia FIFA 2026. Saya bangga dapat memimpin negara saya ke Piala Dunia, namun yang lebih penting, saya mahu memastikan pasukan kami benar-benar bersedia dan memberi tumpuan penuh kepada perlawanan peringkat kumpulan.” – Bernama