KUCHING: Kontinjen Robotik Jabatan Pendidikan Negeri (JPNS) mengharumkan nama negeri apabila muncul naib juara kategori sekolah menengah rendah pada Cabaran Robotik Asrama Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Asrama Malaysia Kuala Lumpur, Victoria Institution, dari 21 hingga 24 Julai.
Pada pertandingan itu, Sarawak diwakili oleh Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Miri di bawah AMal Sarawak serta SK Tuanku Bagus, Simunjan.

Selain muncul naib juara kategori Sekolah Menengah Rendah (Team Lower Form), kontinjen Sarawak turut mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat kelima bagi kategori Sekolah Menengah Atas (Team Upper Form).
Kehadiran Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPNS, Zamzaitul Akmal Hisham Ahmad, pada pertandingan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), inovasi serta teknologi selaras dengan aspirasi Pendidikan MADANI.
Menurut JPNS dalam satu kenyataan, kejayaan itu membuktikan murid Sarawak bukan sahaja mampu bersaing di peringkat kebangsaan, malah memiliki kreativiti, kemahiran berfikir aras tinggi, semangat berpasukan serta daya saing yang tinggi dalam bidang robotik.
JPNS turut merakamkan penghargaan kepada murid, guru pembimbing, pihak sekolah, ibu bapa dan semua pihak yang telah memberikan sokongan serta komitmen sehingga kejayaan tersebut dapat direalisasikan.




