SIBU: Kerajaan Sarawak disarankan untuk mengadaptasi pendigitalan proses visa seperti yang telah dilaksanakan di Semenanjung Malaysia bagi mempercepatkan kemasukan pekerja asing, terutamanya dari Indonesia.
Konsul Jenderal Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono, menyatakan bahawa langkah ini penting untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di Sarawak.
Beliau menekankan bahawa di Semenanjung, sistem digital yang diperkenalkan telah berjaya mempercepatkan proses visa dari 30 hari kepada hanya satu hingga dua minggu.
“Saya berharap Sarawak turut mengambil langkah serupa, kerana negeri ini mempunyai potensi besar untuk menerima lebih ramai pekerja Indonesia, memandangkan kuota kemasukan di Semenanjung hampir penuh,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa pendigitalan proses visa bukan sahaja mempercepatkan kemasukan pekerja sah tetapi turut membantu mengurangkan kejadian kemasukan haram.
Raden Sigit berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Perniagaan antara Kumpulan Syarikat Rimbunan Hijau dan Asosiasi Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (APJATI) di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Dalam forum yang sama, Ketua Divisi Malaysia APJATI, Maria Ginting, menyatakan bahawa kira-kira 35,000 pekerja Indonesia dihantar ke Sarawak setiap tahun.
Beliau juga percaya jumlah ini berpotensi meningkat jika proses kemasukan pekerja dipermudahkan.
Katanya, kerajaan Indonesia berkomitmen untuk memastikan Sarawak menerima tenaga kerja yang mencukupi dan menasihatkan pekerja agar datang dengan dokumen lengkap seperti pasport, visa, dan permit kerja.
Oleh TARANI LANTING