LONGA LAMA : Kawasan Baram yang memiliki komposisi penduduk pelbagai kaum, budaya dan agama menjadi lambang perpaduan yang harus dipelihara sepanjang masa.
Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau berkata hubungan harmoni yang terjalin sesama kaum ini akan memperkukuhkan lagi kedaulatan dan pembangunan negara kerana keharmonian itu terhasil daripada perpaduan antara kaum.
Malah katanya perpaduan adalah kunci kejayaan dalam memperkukuhkan hubungan harmoni dalam masyarakat majmuk yang berbilang kaum, budaya dan agama seperti yang terdapat di Baram.
Beliau yakin dan percaya bahawa perpaduan adalah kunci untuk mencapai kejayaan.
“Inilah identiti kita yang berada jauh berselerak di kawasan pedalaman Baram dan saya berharap perpaduan kita tidak akan longgar meskipun diasak oleh kumpulan yang ingin memusnahkan perpaduan kita supaya kita berpecah belah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jiwa Komuniti Madani yang berlangsung di pekarangan Pejabat Penerangan Long Lama, Daerah Telang Usan di sini malam tadi.
Dalam pada itu, sembilan Komuniti Madani dalam kawasan Parlimen Baram menyertai program tersebut iaitu Komuniti Madani Kampung Pemindahan Marudi, Komuniti Madani Rumah Jelaping Suingai Arang dan Komuniti Madani Sungai Mallang Atas Bakong.
Ketiga-tiga kampung itu dibawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.76 Marudi.
Sementara Komuniti Madani di bawah kawasan DUN N.77 Telang Usan ialah Komuniti Madani Long Lama, Komuniti Madani Uma Akeh dan Komuniti Madani Long Laput.
Di kawasan DUN .78 Mulu ialah Komuniti Madani Rumah Ganing Sungai Gudang, Komuniti Madani Rumah Gaong Sungai Selejau Asal dan Komuniti Madani Rumah Philip Seri Upar.
Anyi percaya sembilan Komuniti Madani di kawasan Parlimen Baram yang diwujudkan mampu mempertingkatkan semangat perpaduan antara pelbagau kaum.
Katanya, konsep Komuniti Madani ini adalah untuk menyatupadukan rakyat agar tidak berpecah-belah dan bergerak sehaluan sebagai satu pasukan untuk mencapai kemajuan.
Turut hadir Pengarah Penerangan Negeri Sarawak, Helmy Hamid; Pegawai Daerah Telang Usan, Ezra Uda; Pegawai Penerangan Daerah Telang Usan, Jua Daud dan Pegawai Penerangan Daerah Marudi, Siti Mariam Mahdar.
Oleh JIKU JUGUONG