
SIBU: Parti Demokratik (PDP) Pemuda Cawangan Nangka terus komited dalam membantu masyarakat setempat mendaftar pelbagai inisiatif kerajaan negeri menerusi program khas yang diadakan di Taman Tasik Permai, hari ini.
Ketua Pemuda PDP Nangka, Aaron Teo, berkata program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu 15-25, JKKK Kampung Bahagia Jaya, Sungai Teku, serta JKKK Batu 6-15.

“Program ini bertujuan membantu orang ramai membuat permohonan dan semakan status bagi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) dan Kenyalang Gold Card (KGC).
“Ia memberi peluang kepada penduduk di kawasan Permai dan Kampung Jeriah untuk mendapatkan maklumat serta manfaat daripada inisiatif kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita.

Program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 1.00 petang itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat, selain turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan.
Sebagai tambahan, Pemuda PDP Nangka turut bekerjasama dengan syarikat Liansin bagi menganjurkan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.
Teo berkata, ketika pihaknya mengunjungi sekolah di kawasan Permai dua minggu lalu, guru-guru memaklumkan bahawa sudah lama mereka tidak menganjurkan aktiviti seumpama itu.
“Justeru, kami mengambil inisiatif untuk mengadakan pertandingan ini bagi memberi peluang kepada kanak-kanak menunjukkan bakat mereka,” katanya.
Selain itu, Pemuda PDP Nangka turut bekerjasama dengan farmasi PMG bagi menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada peserta.
Sebagai galakan kepada masyarakat, hadiah percuma turut diberikan kepada 200 peserta terawal yang mendaftar bagi SKAS, SCHB, dan KGC.
Turut hadir, Pengerusi PDP Nangka, Penghulu Teo Nging Poh dan Ketua wanita PDP Nangka, Terrassese Inez.
Oleh Tarani Lanting